Topik diikuti
Pergi ke BHkuRakyat zahir duka, bimbang keadaan Mahathir hadapi kehilangan Siti Hasmah
Tidak mahu mendengar berita kehilangan lagi, namun rakyat harus tetap bersedia
Rakyat zahir duka, bimbang keadaan Mahathir hadapi kehilangan Siti Hasmah
Selepas 70 tahun hidup bersama, tidak pernah berenggang dan berjauhan dalam mengharungi pelbagai fasa kehidupan, Tun Dr Mahathir Mohamad, kini berdepan hari mendatang yang luar biasa tanpa teman hidup yang sentiasa setia berada di sisinya, Allahyarhamha Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.
Pemergian Allahyarhamha Dr Siti Hasmah pada usia 100 tahun pada 28 September bukan sahaja menyentuh hati rakyat.
Malah mencetuskan kebimbangan ramai, mengenai bagaimana mantan Perdana Menteri Malaysia dua kali itu akan menyesuaikan diri dengan kehilangan insan tersayang yang begitu lama berkongsi kehidupan dengannya.
Lebih menyentuh hati ramai apabila melihat sosok Dr Mahathir yang selama ini dikenali sebagai tokoh dan negarawan yang kuat serta tabah, menangisi kehilangan wanita yang menjadi teman dalam lebih separuh kehidupannya, dalam keadaan beliau sendiri perlu menggunakan bantuan oksigen dan berkerusi roda.
Antara hantaran di media sosial Thread yang berkongsi kebimbangan terhadap keadaan Dr Mahathir: “Tak lena tidur semalam, asyik terjaga fikirkan Tun M tengah buat apa. Tun M boleh tidur ke?,” tulis usahawan dan pempengaruh, Betty Rahmad.
“Tun, kami doakan Tun kuat. Kami semua tumpang bersedih dengan pemergian Tun Hasmah. Semoga Allah berikan Tun M kekuatan dan kesabaran menghadapi ujian ini. Banyak Tun berdua ajar kami tentang sabar dan setia. Semoga Tun Hasmah ditempatkan di kalangan orang beriman, Amin. Jaga kesihatan Tun,” tulis Datin Dr Halina Mohd Yunos, isteri kepada Angkawasan Malaysia, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor.
“Bengkak mata, nak buka mata pun susah pagi ini. Apa yang Tun M buat sekarang agaknya? Adakah tengah duduk di meja makan sambil menatap kerusi yang dulunya pernah jadi tempat bergurau senda mereka berdua ketika makan bersama,” tulis caresistershq.
“Tun M dah makan ke? Tun M tidur tak? Tun M, kami sangat bimbangkan Tun M,” tulis pengguna Thread @yrr.junn.
Malah, ada yang mengakui belum bersedia untuk berdepan dengan satu lagi kehilangan selepas pemergian Dr Siti Hasmah.
“Saya tak bersedia untuk berita sedih yang lain. Hari ini sudah cukup menyedihkan. Tetapi saya tahu ia akan berlaku apabila tiba masanya. Kami menyayangi kedua-dua Tun. Rakyat Malaysia belum bersedia untuk melepaskan Tun Mahathir,” tulis latyusuf di Thread.
Kebimbangan itu memperlihatkan bagaimana kisah Dr Mahathir dan Allahyarhamha Dr Siti Hasmah bukan sekadar kisah pasangan yang dikenali ramai, tetapi turut meninggalkan kesan mendalam kepada rakyat yang membesar menyaksikan perjalanan hidup mereka bersama.
Dr Mahathir dan Allahyarhamha Dr Siti Hasmah amat dikenali sebagai pasangan romantis dan menjadi teladan dengan kisah cinta ikonik yang bertahan selama tujuh dekad, berasaskan kasih sayang, kepercayaan dan kesabaran.
Pasangan ini mendapat pengiktirafan Asia Records sebagai bekas ketua kerajaan dan pasangan pertama yang mencapai usia 100 tahun pada 12 Ogos lalu, sempena ulang tahun perkahwinan ke-70 mereka.
Dr Mahathir dan Allahyarhamha Dr Siti Hasmah mendirikan rumah tangga pada 5 Ogos 1956, selepas berkenalan ketika sama-sama menuntut di Kolej Perubatan King Edward VII, Singapura pada 1947 dan memiliki tujuh anak.
Dr Siti Hasmah menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, kira-kira 9.30 pagi pada 28 September, selepas dimasukkan ke pusat perubatan itu sejak 26 September.
Menurut anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, yang ditemui media selepas selesai urusan pengebumian, Allahyarhamha dimasukkan ke IJN atas penyakit lain.
Namun katanya IJN memaklumkan Allahyarhamha mengalami sakit jantung sejak 8 pagi 28 September dan diberikan bantuan CPR (Resusitasi Kardiopulmonari) serta dipindahkan ke CCU (Unit Penjagaan Koronari), sebelum disahkan meninggal dunia.
Kata beliau Dr Mahathir turut berada di IJN ketika itu, namun di bilik berlainan.
Apa yang menyayat hati, Datuk Mukhriz berkongsi bahawa ibunya menyatakan sudah bersedia untuk pergi ketika mereka bersama pada malam 27 September.
“Saya berada dengan beliau malam semalam (27 September). Waktu itu beliau sudah pun berada di IJN atas sakit yang lain sebenarnya. Tetapi moodnya sangat ceria. Walaupun begitu, beliau beritahu sudah bersedia untuk tinggalkan kita semua,” katanya.
Jenazah Dr Siti Hasmah kemudian selamat dikebumikan kira-kira 6.30 petang, pada 28 September di Pusara Negara, Putrajaya, dengan diberi Istiadat Pengebumian Pembesar Negara dalam suasana penuh kesedihan dan dihadiri ribuan orang dari serata Malaysia.
Seorang lagi anak Allahyarhamha yang ditemui, Tan Sri Mokhzani Mahathir, pula berkata seluruh keluarga berada bersama Allahyarhamha pada sebelah malam 27 September dan terkejut melihat perbezaan besar padanya yang tidak dapat dipulihkan.
Ketika ditanya apakah kenangan terakhir bersama ibunya, Tan Sri Mokhzani berkata: “Tiada satu kenangan terakhir kerana kami mempunyai berjuta-juta kenangan bersamanya. Saya sangat bersyukur kerana kami mempunyai begitu banyak masa bersama beliau.
“Bukan hanya satu kenangan. Kami banyak mengadakan pertemuan dan berkumpul bersama keluarga sepanjang bulan, minggu dan hari-hari terakhir ini,” katanya.
Mengenai keadaan Dr Mahathir, Tan Sri Mokhzani berkata: “Beliau okey, tetapi sudah tentu hari ini adalah hari yang sangat-sangat luar biasa buat kami semua,” katanya dalam nada sebak.
Sementara itu, cucu Allahyarhamha Dr Siti Hasmah, Cik Meera Alyanna Mukhriz atau lebih dikenali sebagai Ally, berkongsi kesedihan kehilangan nenda yang tidak dijangka.
“Kami kehilangan Tok (Dr Siti Hasmah) secara tidak dijangka, hari ini (28 September), dan sukar menerima hakikat beliau sudah tiada”.
Dalam perkongsian itu, Cik Meera Alyanna turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menghubungi beliau dan keluarga menyusuli pemergian nendanya itu.