Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rampasan diesel berkurang selepas penyasaran subsidi, RON95 pula meningkat

Jul 4, 2024 | 11:34 AM
sara hidup
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Malaysia, Datuk Armizan Mohd Ali. - Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Hanya 14 kes rampasan diesel, membabitkan 68,457 liter, direkodkan dalam tempoh 20 hari selepas penyasaran semula subsidi bahan bakar itu dilaksanakan pada 10 Jun.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Malaysia, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata jumlah itu menunjukkan penurunan kes menyeludup keluar diesel dari Malaysia berbanding tempoh yang sama sebelum penyasaran semula subsidinya.

Sebanyak 65 kes, melibatkan 520,803 liter diesel dirampas, dicatat sebelum penyasaran subsidi.

Namun, beliau berkata terdapat pula peningkatan kes rampasan petrol bersubsidi RON95, yang berjumlah 46 kes membabitkan 14,011 liter, selepas penyasaran tersebut.

Jumlah kes itu meningkat berbanding 37 kes rampasan membabitkan 17,064 liter bagi tempoh 20 Mei hingga 9 Jun, sebelum penyasaran subsidi diesel dilaksanakan.

“Berdasarkan perbandingan bagi tempoh 20 hari sebelum dan selepas pelaksanaan penyasaran subsidi diesel (pada 10 Jun), jumlah kes membabitkan penyelewengan minyak diesel menunjukkan penurunan signifikan.

“Perbandingan ini menunjukkan berlakunya penurunan rampasan diesel sebanyak 87 peratus selepas pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.

“Jumlah individu yang ditahan bersabit kes diesel juga berkurangan dalam tempoh sama, daripada 40 orang kepada seorang sahaja,” katanya dalam satu kenyataan pada 4 Julai, lapor Berita Harian Malaysia.

“KPDN akan terus mempertingkatkan tindakan penguatkuasaan dan pemantauan ke atas kegiatan penyelewengan barang kawalan di bawah, OPS TIRIS 3.0, di seluruh negara dengan kerjasama rapat agensi penguatkuasaan lain, bagi memastikan isu ketirisan dapat diatasi secara menyeluruh dan berkesan,” ujarnya.

Harga diesel di Semenanjung Malaysia diapungkan kepada RM3.35 ($0.96) seliter daripada RM2.15 seliter sebelum 10 Jun.

Menurut kerajaan Malaysia, langkah itu akan dapat memberikan penjimatan RM4 bilion setahun kepada kerajaan, di samping mengukuhkan kedudukan kewangan negara untuk jangka masa panjang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg