Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jualan diesel di sempadan M’sia susut 40 peratus

Jun 24, 2024 | 2:49 PM
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan ketika sesi penerangan menteri berkaitan penyasaran subsidi diesel oleh kerajaan Malaysia di Dewan Rakyat, pada 24 Jun.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan ketika sesi penerangan menteri berkaitan penyasaran subsidi diesel oleh kerajaan Malaysia di Dewan Rakyat, pada 24 Jun. - Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA

KUALA LUMPUR: Jualan diesel di kawasan sempadan Malaysia menunjukkan penurunan 40 peratus sejak kerajaan negara itu mengumumkan pengapungan harga subsidi, sekali gus mengesahkan wujudnya aktiviti penyeludupan bahan api ke negara sempadan sebelum ini.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata langkah penyasaran subsidi diesel bermula 10 Jun lalu menyaksikan jumlah jualan runcit di stesen minyak menurun hampir lapan juta liter sehari atau 30 peratus untuk minggu pertama, berbanding minggu sebelumnya.

“Selain itu, jualan diesel komersial pula meningkat sebanyak empat juta liter sehari yang memberi isyarat bahawa sebahagian penggunaan diesel runcit bersubsidi selama ini, sudah digunakan oleh sektor industri yang sepatutnya membeli diesel pada harga pasaran.

“Ini bermakna, trend peningkatan jualan diesel komersial menggambarkan tanda positif bahawa ketirisan diesel bersubsidi sudah berkurang,” katanya pada sesi penerangan menteri berkaitan penyasaran subsidi diesel oleh kerajaan di Dewan Rakyat, pada 24 Jun, lapor Berita Harian Malaysia.

Datuk Amir Hamzah berkata pengapungan harga diesel tidak bermaksud kerajaan memansuhkan sepenuhnya subsidi ke atas bahan bakar itu, memandangkan ketika ini, kerajaan masih menanggung subsidi diesel sehingga RM10 bilion ($2.87 bilion), menurun berbanding RM14 bilion pada 2023, sekali gus menyaksikan penjimatan RM4 bilion setahun.

Beliau berkata perbelanjaan subsidi diesel negara sudah meningkat 10 kali ganda iaitu daripada RM1.4 bilion pada 2019, kepada RM14.3 bilion pada 2023.

Sementara itu di Kelantan, seorang pemilik syarikat pemborong diesel didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas 116 tuduhan gagal mengemukakan dokumen berhubung pembelian diesel dan menyelenggara buku stok membabitkan 2.64 juta liter diesel bernilai lebih RM10 juta pada Disember 2022.

Tertuduh, Mohd Fared Ramli, 36 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua tuduhan dan mohon dibicarakan ketika pendakwaan dikemukakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

Mengikut tuduhan pertama hingga 58, pemilik perniagaan Wau Beremas Enterprise yang juga pemegang lesen pemborong diesel itu didakwa gagal mengemukakan dokumen dan maklumat dikehendaki Penolong Pengawal Bekalan berhubung pembelian diesel untuk tujuan eksport.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg