KOTA KINABALU (Sabah): Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabah dan seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu pada 30 Jun atas tuduhan rasuah berkaitan lesen perlombongan galian di negeri itu pada 2023.
Adun Sindumin, Datuk Dr Yusof @ Josree Yacob; Adun Tanjung Batu, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy; dan ahli perniagaan, Datuk Tei Jiann Cheing; membuat pengakuan itu selepas tuduhan berasingan berkaitan kes rasuah itu dibacakan kepada mereka di hadapan Hakim Jason Juga.
Datuk Dr Yusof, 69 tahun, yang juga Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad, didakwa atas satu tuduhan menerima wang suapan RM200,000 ($60,250) daripada Datuk Tei, di sebuah hotel di Kota Kinabalu pada 2 petang, 6 Mac 2023.
Ia sebagai dorongan membantu menguruskan permohonan lesen cari gali untuk melombong galian di Sabah.
Datuk Andi, 44 tahun, yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah serta Ahli Parlimen Kalabakan, didakwa menerima wang suapan RM150,000 daripada Datuk Tei sebagai dorongan membantu menguruskan permohonan lesen cari gali untuk melombong galian di Sabah.
Ia dikatakan berlaku di kediaman Adun itu di Kota Kinabalu pada 11 malam, 12 Mei 2023.
Datuk Tei, 36 tahun, pula didakwa atas dua tuduhan memberikan wang rasuah masing-masing kepada Datuk Dr Yusof dan Datuk Andi di lokasi, masa dan tarikh yang sama, lapor Harian Metro.
Kesemua mereka didakwa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda berat jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Cik Nurul Izzati Sapifee dan Encik Rustam Sanip.
Datuk Yusof dan Datuk Andi diwakili peguam, Datuk Ram Singh, Encik Shahlan Jufri dan Encik Ridzwandean Borhan, manakala Datuk Tei diwakili Encik Edward Paul.
Mahkamah membenarkan Datuk Yusof dan Datuk Andi diikat jamin RM50,000 setiap seorang, manakala Datuk Tei diikat jamin RM60,000.
Kes itu akan disebut semula pada 5 Ogos 2025, dengan arahan penyerahan pasport dan laporan berkala kepada SPRM.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg