Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Remaja 14 tahun tunggang motosikal maut kemalangan dengan kereta di Johor

May 10, 2024 | 11:24 AM
Pelajar sekolah berusia 14 tahun maut dalam kemalangan dengan kereta di kilometer 1.0 Jalan Bandar Penawar-Punggai di Kota Tinggi, Johor, pada 9 Mei malam.
Pelajar sekolah berusia 14 tahun maut dalam kemalangan dengan kereta di kilometer 1.0 Jalan Bandar Penawar-Punggai di Kota Tinggi, Johor, pada 9 Mei malam. - Foto POLIS DIRAJA MALAYSIA

KOTA TINGGI: Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun maut dalam kemalangan dengan sebuah kereta di kilometer 1.0 Jalan Bandar Penawar-Punggai, Kota Tinggi, Johor, pada 9 Mei malam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora, berkata dalam kejadian 6.50 pagi itu, rakan mangsa yang juga remaja lelaki berusia 14 tahun yang membonceng motosikal mengalami cedera parah.

Beliau berkata motosikal yang ditunggang mangsa jenis Yamaha Ego Solariz terbabit kemalangan dengan kereta jenis Kia Rio yang dipandu wanita tempatan berusia 22 tahun.

“Dalam kemalangan tersebut, remaja terbabit yang juga pelajar sekolah menengah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan maut di tempat kejadian.

“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi bagi tindakan lanjut. Rakan mangsa mengalami kecederaan patah tangan kiri dan masih mendapatkan rawatan di hospital sama,” katanya dalam kenyataan pada 10 Mei, lapor Berita Harian Malaysia.

Encik Hussin berkata pemandu wanita terbabit tidak mengalami kecederaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu dalam kes berasingan di Batu Pahat, Johor, pada 9 Mei, seorang remaja lelaki berusia 17 tahun didakwa di Mahkamah Majistret Batu Pahat atas tuduhan mengugut mahu memukul ibunya.

Tertuduh yang sudah tercicir daripada persekolahan menengah itu mengaku salah sejurus tuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan itu dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa di depan Majistret Nurasidah A Rahman. Mahkamah menetapkan 26 Jun depan untuk laporan akhlak dan hukuman.

Berdasarkan laporan polis dibuat ibu tertuduh, remaja itu meminta wang tetapi wanita berkenaan enggan memberikan kepadanya menyebabkan anaknya itu mengambil sebatang besi lalu mengacu dan mengugut mahu memukul ibunya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg