Kunjungan warga Singapura ke Johor kebiasaannya meningkat menjelang cuti hujung tahun, namun suasana kali ini dikatakan lebih suram berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Beberapa peniaga mengakui keadaan mula berubah sejak ringgit menunjukkan pengukuhan ketara sejak November 2025, sekali gus menjejas corak perbelanjaan pelancong dari republik itu.
Sepanjang minggu lalu, kadar pertukaran $1 berada pada sekitar RM3.17 hingga RM3.19, berbanding kira-kira RM3.30 dalam tempoh sama pada 2024.
Perubahan ini dirasai terus oleh peniaga makanan, pengusaha pelancongan dan pemilik warung di Johor, yang lazimnya bergantung kepada pelanggan dari Singapura sebagai penyumbang utama pendapatan hujung tahun.
Di Desaru, pemilik restoran Desaru Utama Seafood, Encik Muhammad Ashraff Syahmi Rohamizan, 24 tahun, berkata kunjungan pelanggan Singapura yang datang secara persendirian semakin berkurangan sejak Oktober 2025.
Menurut beliau, kedai makan yang biasanya penuh dengan kereta bernombor pendaftaran Singapura pada Disember 2025 kini terasa lebih lengang.
“Yang datang secara persendirian memang berkurang. Kalau sebelum ini, setiap hujung tahun mesti penuh. Tahun ini agak perlahan. Cuma kumpulan menaiki bas dan rombongan syarikat masih datang dua hingga empat kali sebulan,” katanya.
Bagaimanapun, bekalan makanan laut di restorannya belum terjejas biarpun musim tengkujuh kebiasaannya menekan harga.
“Nelayan masih hantar barang dan kami masih mampu kekalkan harga. Cuma jualan memang turun sedikit sebab pengunjung persendirian pun tidak seperti dahulu,” jelas beliau yang mengakui kedai baru sepertinya turut terkesan oleh penurunan mendadak pelanggan.
Di Johor Bahru, pemilik Warong Tokyah, Encik Zarief Ashraf Halid, 28 tahun, berkata pengukuhan ringgit sedikit sebanyak mengubah tabiat berbelanja warga Singapura, namun beliau melihatnya sebagai sebahagian daripada kitaran ekonomi yang perlu ditangani dengan strategi operasi baru.
“Bukan isu yang membimbangkan, ekonomi kita kukuh itu baik. Cuma bagi peniaga kecil, keadaan ini membuatkan pengunjung berbelanja kurang dan kos operasi terasa tinggi.
“Macam kami sendiri sudah mula memendekkan waktu operasi dari 8 pagi hingga 12 malam kepada 8 pagi hingga 5 petang,” katanya ketika dihubungi Berita Harian (BH).
Beliau berkata kunjungan pelanggan memang menurun tetapi tidak seteruk ketika pelaksanaan Permit Masuk Kenderaan (VEP) pada Julai 2025.
Encik Zarief berharap pembukaan perkhidmatan Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) Johor Bahru-Singapura pada 2027, akan melonjakkan semula aliran pelancong dan memudahkan pergerakan rakyat dua negara.
Sementara itu di Sungai Lebam, Kota Tinggi, pengurus Restoran Terapung Seafood Bujang Firefly, Encik Mohd Ridzwan Mohd Shahril, 30 tahun, berkata premisnya yang menawarkan pengalaman unik termasuk ‘firefly cruise’ (jelajah sungai sambil lihat kunang-kunang), ‘river cruise’ (jelajah sungai) dan kayak turut merasai penurunan pelanggan Singapura sekitar 20 peratus.
“Pelanggan kami 70 peratus warga Singapura. Bila ringgit naik, memang ada kesan tetapi kami bersyukur sebab banyak ejen pelancongan terus mempromosikan tempat kami,” katanya.
Beliau berkata kebanyakan pelancong dari Singapura kini datang secara persendirian, tidak terlalu bergantung pada ejen, kerana ia lebih menjimatkan.
Menurut Encik Ridzwan, musim cuti sekolah menyaksikan sedikit pemulihan.
“Hujung minggu biasanya sekitar 200 orang. Untuk aktiviti sungai seperti kayak dan pelayaran, 70 peratus masih warga Singapura. Mereka mungkin berbelanja kurang pada makanan, tetapi tetap mencari pengalaman,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg