Topik diikuti
Pergi ke BHkuRakyat mahu rumah siap, bukan sekadar angka peruntukan perumahan
Rakyat mahu rumah siap, bukan sekadar angka peruntukan perumahan
Rakyat mahu rumah siap, bukan sekadar angka peruntukan perumahan
JOHOR BAHRU: Rakyat menilai kejayaan sesuatu dasar perumahan bukan berdasarkan jumlah peruntukan atau banyak program yang diumumkan, sebaliknya melalui penyelesaian sebenar terhadap masalah yang dihadapi, kata Pemangku Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berhubung Program Sentuhan Kasih KPKT Johor 2026 serta pengumuman sebanyak RM1.08 bilion ($337 juta) disalurkan kepada Johor sejak 2023.
Menurut beliau, Kerajaan Johor sentiasa bersedia bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam apa jua usaha yang memberi manfaat kepada rakyat, namun persoalan utama yang mahu dilihat rakyat ialah sejauh mana masalah mereka berjaya diselesaikan.
“Rakyat hari ini tidak lagi menilai berdasarkan jumlah program atau angka yang diumumkan. Mereka menilai sama ada rumah yang dijanjikan siap, hak milik diserahkan, projek bergerak dan masalah mereka benar-benar diselesaikan,” katanya dalam satu kenyataan pada 23 Jun.
Datuk Mohd Jafni berkata beberapa projek perumahan masih menimbulkan persoalan dalam kalangan rakyat, termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bandar Tenggara, yang memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) pada 22 Disember 2025.
Menurutnya lagi, meskipun projek itu telah siap, pelbagai urusan berkaitan penyerahan dan proses di peringkat KPKT serta Jabatan Perumahan Negara masih belum dimuktamadkan sepenuhnya.
“Jika projek telah siap sejak Disember 2025, mengapa rakyat masih perlu menunggu?” soalnya.
Beliau turut membangkitkan status projek PPR Kluang dan Projek Rumah Rakyat (PRR) Larkin yang diumumkan sejak 2023, namun masih menunggu perkembangan lanjut.
Selain itu, katanya, isu penyelenggaraan dan naik taraf Flat Taman Ungku Tun Aminah yang dibangkitkan sejak 2023, juga masih menunggu penyelesaian lebih menyeluruh.
Menurut beliau, rakyat juga berhak mengetahui status beberapa projek lain termasuk cadangan naik taraf Pasar Awam Johor Jaya yang dikemukakan sejak 2022 serta kerja naik taraf di PRR Desa Mutiara.
“Rakyat bukan sekadar mahu mendengar pengumuman baharu, tetapi mahu melihat pengumuman yang telah dibuat diterjemahkan kepada tindakan dan hasil yang boleh dirasai,” katanya.
Beliau berkata apabila angka RM1.08 bilion disebut sebagai peruntukan kepada Johor, rakyat berhak mengetahui secara terperinci jumlah projek yang telah siap, masih tertangguh, belum bermula atau masih berada pada peringkat perancangan.
Dalam pada itu, Datuk Mohd Jafni berkata Kerajaan Johor telah memperuntukkan RM767.38 juta menerusi pelbagai inisiatif perumahan yang memberi manfaat kepada 160,359 keluarga membabitkan lebih 641,000 rakyat Johor.
Katanya, jumlah itu hanya melibatkan inisiatif di bawah Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ) dan tidak termasuk pelbagai program berkaitan perumahan yang dilaksanakan pihak berkuasa tempatan, agensi negeri serta jabatan lain.
Beliau turut memaklumkan sepanjang empat tahun lalu, kerajaan negeri membantu menyelesaikan 19 projek perumahan sakit dan terbengkalai, membabitkan 4,253 unit kediaman dengan nilai pembangunan melebihi RM1.08 bilion.
