Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

RM65b aset pusaka terbengkalai di M’sia dek tiada perancangan pewarisan

Termasuk tanah tidak boleh dibangunkan kerana urusan pengagihan belum diselesai
Feb 24, 2025 | 1:34 PM
Pengarah Urusan Kumpulan AmanahRaya, Encik Ahmad Feizal Sulaiman Khan.
Pengarah Urusan Kumpulan AmanahRaya, Encik Ahmad Feizal Sulaiman Khan. - Foto AMANAH RAYA BHD

KUALA LUMPUR: Gagal membuat perancangan untuk mewariskan harta menyebabkan kira-kira RM65 bilion ($19.6 bilion) aset hartanah dan wang tunai individu sudah meninggal dunia di Malaysia gagal diserahkan kepada waris.

Ia membabitkan wang tunai RM500 juta di bawah seliaan Amanah Raya Bhd (AmanahRaya), hartanah bernilai kira-kira RM60 bilion yang dikawal selia Pejabat Tanah dan Galian (PTG), dan kira-kira RM4.5 bilion wang tidak dituntut (WTD) dalam simpanan Jabatan Akauntan Negara (JAN).

AmanahRaya diberi mandat oleh kerajaan Malaysia sebagai pemegang amanah dan pentadbir pusaka menerusi bidang kuasa mengikut Akta Perbadanan Amanah Raya 1995.

Setakat ini, hanya 5 peratus, iaitu kira-kira 1.7 juta daripada lebih 34 juta penduduk di Malaysia membuat perancangan pewarisan, menunjukkan tahap kesedaran masih rendah dalam kalangan masyarakat berhubung pengurusan harta selepas meninggal dunia.

Pengarah Urusan Kumpulan AmanahRaya, Encik Ahmad Feizal Sulaiman Khan, berkata hartanah dan wang pusaka gagal diserahkan atau tidak dituntut disebabkan pelbagai masalah.

“Jadi, aset dianggarkan bernilai RM65 bilion kini tidak dapat digunakan, menyebabkan kerugian kepada banyak pihak kerana tiada perancangan pewarisan.

“Jumlah RM65 bilion ini mungkin sejak 10 tahun lalu (2015),” katanya lapor Berita Harian Malaysia.

Antara puncanya, kata beliau, ialah isu berkaitan pemindahan kepada waris yang layak disebabkan tiada perancangan mewariskan harta, pengurusan amanah yang dibuat pemilik asalnya, dan kegagalan mengemukakan dokumen yang diperlukan.

Encik Ahmad Feizal berkata keadaan itu menyebabkan Malaysia kerugian kerana aset itu dalam keadaan ‘tergantung’ kerana isu pemilikan, terutama tanah tidak boleh dimajukan dengan pembangunan kerana masih tertakluk pada urusan pengagihan pusaka yang belum selesai.

Menurut beliau, dianggarkan RM6 bilion harta pusaka milik individu meninggal dunia direkodkan setiap tahun di seluruh Malaysia yang perlu diurus untuk diagihkan kepada pewaris.

Banyak harta itu tersekat dan tidak boleh diserahkan kepada waris kerana pemilik tidak membuat perancangan pewarisan atau menguruskan hal pengamanahan ketika mereka masih hidup, ujar beliau.

“Ini menyebabkan segala hartanah dan wang simpanan mereka perlu diagih kepada waris mengikut kaedah faraid yang perlu melalui pelbagai proses, termasuk kes dibawa ke Mahkamah Syariah bagi orang Islam atau mahkamah biasa bagi bukan Islam, yang mengambil masa lama,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg