Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

RM71 juta nilai barangan terkawal, bersubsidi M’sia dirampas sejak Jan 2024

Aug 7, 2024 | 5:12 PM
Ketua Pengarah Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam (tengah).
Ketua Pengarah Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam (tengah). - Foto BERNAMA

SUNGAI PETANI (Kedah): Pelaksanaan Ops Tiris 3.0 sejak 1 Januari lalu di seluruh Malaysia berjaya merekodkan rampasan pelbagai barangan terkawal dan bersubsidi bernilai RM71 juta ($21 juta) juta setakat ini.

Ketua Pengarah Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam, berkata bagi tempoh itu sebanyak 26,891 pemeriksaan dilakukan membabitkan 1,821 kes.

Menurutnya, sejumlah 446 tangkapan juga dilakukan dalam tempoh sama membabitkan rakyat tempatan, penduduk tetap dan warga asing.

“Berdasarkan statistik penguatkuasaan di pintu masuk sempadan juga, sebanyak 39,993 kenderaan diperiksa membabitkan lapan kes kesalahan.

“Kita masih meneruskan Ops Tiris 3.0 bagi memastikan aktiviti penyelewengan dan penyeludupan barang kawalan dan bersubsidi seperti diesel, petrol RON95, gas petroleum cecair (LPG), minyak masak satu kilogram (kg), gula dan tepung gandum dapat dibendung.

“KPDN ingin mengingatkan pengusaha stesen minyak yang diberi arahan agar sentiasa peka dan mematuhi arahan serta syarat lesen kerana tindakan boleh diambil termasuk membatalkan lesen jika bersubahat dengan penyeludup,” katanya, lapor Harian Metro.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Advokasi dan Serahan Arahan Pengawal Bekalan kepada Pengusaha Stesen Minyak Negeri Kedah, di Sungai Petani, Kedah, pada 7 Ogos.

Ketika ditanya mengenai penyeludup yang beralih kepada penyeludupan minyak bersubsidi RON95 selepas kerajaan melaksanakan pengapungan harga diesel sejak 10 Jun lalu, Datuk Azman berkata kebanyakan mereka menggunakan kenderaan tempatan bagi mengaburi pihak berkuasa.

Menurutnya selain itu terdapat juga kenderaan yang diubah suai bagi mengisi lebih banyak petrol.

“Ada juga taktik baru lain yang saya tidak dapat dedahkan di sini, risikan sedang dijalankan, cuma mesej saya kepada mereka, anda semua sedang diperhatikan.

“Sekiranya kita dapati stesen minyak mengalami peningkatan jualan yang mendadak, ada tindakan boleh diambil dan kita tidak menolak kemungkinan menempatkan pegawai di situ,” katanya.

Datuk Azman turut memaklumkan KPDN menerima lebih 20,000 aduan dari seluruh negara dan ia adalah satu perkembangan positif.

“Cuma satu pesan saya, maklumat itu jangan ditularkan kerana ia boleh menyebabkan siasatan menjadi sukar dan kadang-kadang bukti itu boleh dilupuskan.

“Jadi elok maklumat disalurkan terus kepada kami supaya langkah bersesuaian dapat diambil segera,” katanya.

Kerajaan Malaysia pada 10 Jun lalu mula melaksanakan penyasaran subsidi diesel, sebagai antara usaha mengekang kegiatan penyeludupan bahan api itu yang semakin berleluasa, selain menangani isu ketirisan subsidi yang merugikan wang negara.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg