JOHOR BAHRU: Johor akan meneruskan persiapan bagi memastikan Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) sedia beroperasi menjelang pembukaannya yang dijangka pada Februari 2027, tanpa mengira sebarang perubahan di Kementerian Pengangkutan Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata pemerintah negeri itu sedang merancang untuk mengadakan simulasi operasi pada Disember.

Ini bagi menilai pergerakan penumpang serta penyusunan pengangkutan awam menjelang pembukaan RTS Link.

Beliau menambah bahawa pemerintah negeri itu juga sedang menantikan ketibaan bas tambahan di bawah program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti (SBST).

“Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh menteri, kami kekal dengan tarikh Februari 2027 sebagai tarikh jangkaan permulaan operasi,” katanya.

“Di peringkat negeri, tanpa mengira bila operasi bermula, kami akan terus mengambil langkah-langkah yang diperlukan bagi memastikan segala persiapan berjalan mengikut jadual.”

Encik Mohamad Fazli berkata demikian kepada wartawan selepas pelancaran Pelan Hala Tuju Terminal Hijau dan Pintar serta pemeteraian memorandum persefahaman antara Larkin Sentral Property Berhad dengan Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) di Johor Bahru pada 11 November.

Beliau turut berharap peletakan jawatan Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke, tidak akan menjejas projek-projek utama pengangkutan awam yang sedang dilaksanakan di Johor.

Katanya, beberapa inisiatif yang dirancang dan dilaksanakan bersama kementerian itu penting bagi meningkatkan mutu pengangkutan awam di negeri berkenaan.

“Kami berharap meskipun beliau telah meletak jawatan dan terdapat kemungkinan perubahan dalam kepimpinan kementerian, inisiatif yang telah kami rancang dan laksanakan bersama beliau dapat diteruskan,” katanya.

“Projek-projek ini amat penting bagi Johor, khususnya yang melibatkan RTS Link, program SBST dan lain-lain.

“Kami berharap peletakan jawatan beliau tidak akan menjejas hubungan baik antara pemerintah negeri dengan Kementerian Pengangkutan.”

Encik Mohamad Fazli berkata demikian semasa menjawab soalan mengenai kemungkinan peletakan jawatan Encik Loke sebagai Menteri Pengangkutan akan menjejas projek-projek di Johor yang dikendalikan kementerian itu.

Pada 10 November, Encik Loke mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Pengangkutan susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak, menjalani baki tempoh hukumannya di bawah tahanan rumah.

Encik Loke berkata peletakan jawatannya itu berkuat kuasa serta-merta, selaras dengan pendirian yang telah beliau umumkan pada 6 November.