Topik diikuti
Pergi ke BHkuKerajaan M’sia tunjuk dedikasi perkasa pengangkutan awam
Kerajaan M’sia tunjuk dedikasi perkasa pengangkutan awam
KUALA LUMPUR: Belanjawan Madani 2027 memperlihatkan komitmen Kerajaan Malaysia dalam memperkasa pengangkutan awam, meningkatkan keselamatan jalan raya dan penerbangan, memperkukuh sektor maritim serta meningkatkan kecekapan ekosistem logistik negara demi kesejahteraan rakyat dan pertumbuhan ekonomi yang mampan.
Kementerian Pengangkutan Malaysia (MoT) dalam kenyataan pada 12 Oktober berkata kementerian itu akan terus memperkukuh ekosistem logistik negara melalui peningkatan kecekapan rantaian bekalan, pembangunan kawasan ekonomi strategik, penambahbaikan kemudahan kargo serta pengukuhan ketersambungan perdagangan rentas sempadan.
“Antara kawasan yang diberi tumpuan termasuk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), Kawasan Lembah Chuping, NCER Agribio Economic Zone di Perlis dan koridor Bukit Kayu Hitam–Sadao di Kedah.
“Inisiatif MMSW (Malaysia Maritime Single Window) fasa 2 akan dilaksanakan mulai 2027.
“Inisiatif ini bertujuan melancarkan pergerakan barangan, mengurangkan kos operasi logistik, memperluas akses kepada pasaran serta meningkatkan daya saing Malaysia sebagai hab perdagangan dan logistik serantau,” kata MoT dalam kenyataan itu.
Jelas MoT, antara pelan utama dalam sektor darat pula ialah, Komuter Selatan dan Perkhidmatan Pengangkutan Awam Berdasarkan Permintaan (DRT) yang disediakan oleh syarikat e-hailing.
“Ia bagi meningkatkan ketersambungan serta mengurangkan kesesakan di Johor Bahru menjelang operasi Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) Johor Bahru-Singapura, pada Februari 2027.
“Inisiatif lain termasuk pengoperasian 12 set tren baharu bagi KTM Komuter Utara mulai Februari 2027; perolehan 42 set tren elektrik bagi perkhidmatan Projek Landasan Berkembar Elektrik (ETS) ETS dan KTM Komuter,” kata MoT.
Bagi sektor udara pula, antara inisiatif utama ialah pengukuhan kawalan sempadan dan keselamatan penerbangan, termasuk pemasangan 48 mesin pengimbas baharu di pintu masuk ke Malaysia.
Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Encik Anthony Loke, dalam sidang media pada 12 Oktober di Putrajaya berkata pengumuman Belanjawan 2027 untuk memulihara Stesen Kereta Api Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), membuktikan kementerian itu tiada sebarang perancangan untuk menswastakan syarikat milik kerajaan itu.
Encik Loke seperti dilaporkan portal berita MalaysiaGazette berkata pengumuman itu sekali gus menepis dakwaan yang menyatakan KTMB dijual kepada entiti luar adalah tidak benar.
Tegas beliau, fitnah yang berterusan itu diharap dapat dihentikan apabila pemuliharaan bangunan ikonik dilaksanakan secara usahasama antara Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dan Khazanah Nasional Berhad.
“Kita dapat kelulusan untuk pemuliharaan Stesen Kereta Api Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat KTMB sebagai usaha memelihara warisan sejarah pengangkutan negara.
“Ini satu inisiatif yang penting iaitu bangunan ikonik Stesen Kereta Api Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat KTMB.
“Dengan pengumuman ini, saya berharap dapat menoktahkan segala tuduhan dan fitnah yang menyatakan Kementerian Pengangkutan hendak jual bangunan KTMB, ada pihak yang fitnah sepanjang masa kata Anthony Loke hendak jual KTMB termasuk bangunan kepada orang dan syarikat Cina. Ini tidak betul langsung, fitnah berterusan,” katanya.