Topik diikuti
Pergi ke BHkuRumah rakit jadi sasaran stor dadah di Johor
JOHOR BAHRU: Selepas kediaman berpagar dan berpengawal, kini rumah rakit pula dijadikan stor penyimpanan dadah oleh sindiket pengedaran dadah sebelum dipasarkan.
Dalam kes terbaharu pada 12 Ogos, Polis Johor berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah hasil tiga serbuan termasuk di sebuah rumah rakit di Masai di sini sekali gus menahan sembilan individu dan rampasan dadah bernilai RM7.9 juta ($2.5 juta).
Timbalan Ketua Polis Johor, Timbalan Pesuruhjaya (DCP) Hoo Chuan Huat, berkata dalam semua serbuan itu turut ditahan adalah dalang sindiket berkenaan yang berusia 54 tahun.
“Dalam serbuan pertama di sebuah rumah di Masai di sini, tiga lelaki tempatan ditahan dengan pelbagai jenis dadah termasuk dua mesin yang digunakan untuk memproses ecstasy dan peralatan untuk pembungkusan semula dadah.
“Manakala, serbuan kedua di rumah rakit itu, kita menahan empat lelaki tempatan termasuk mastermind dan turut merampas sejumlah dadah.
“Serbuan ketiga pula dibuat di sebuah rumah di Ulu Tiram di sini, sebelum sepasang kekasih ditahan dengan sejumlah dadah,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, pada 20 Ogos.
Menurut beliau, hasil siasatan mendapati suspek pertama berperanan sebagai runner dan suspek kedua adalah pembantunya, lapor Harian Metro.
“Suspek ketiga adalah penjaga stor yang terbabit menyediakan dadah jenis jus, suspek keempat adalah mastermind, suspek kelima mekanik bot, suspek keenam dan ketujuh adalah penjaga rakit.
“Suspek kelapan individu yang memproses pil ecstasy dan suspek kesembilan yang juga wanita warga asing adalah teman wanitanya.
“Sindiket ini dipercayai aktif sejak awal Januari,” katanya.
Menurut beliau, jumlah dadah yang dirampas adalah 40.381 kilogram (kg) serbuk MDMA, serbuk ecstasy (23.869kg); pil Erimin 5 (23,025 biji), syabu (0.574kg), ketamin (4.91kg), cecair ketamin (18.40 liter) dan 230 katrij cecair syabu yang semuanya dianggarkan bernilai RM7.9 juta.
Sementara itu, Berita Harian Malaysia melaporkan Polis Johor juga melupuskan pelbagai jenis barang kes dadah bernilai RM40.02 juta membabitkan 40,269 kertas siasatan yang sudah selesai perbicaraan di mahkamah bagi tempoh 1999 hingga 2025.
DCP Hoo berkata pelupusan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Johor dilaksanakan mengikut peruntukan Perintah Tetap Ketua Polis Negara Bahagian D207 (Pelupusan Barang Kes).
“Keseluruhan barang kes dilupuskan membabitkan dadah bentuk pepejal seberat 532.76kg dan 10,072 liter dalam bentuk cecair.
“Jumlah dadah yang dilupuskan ini dianggarkan boleh merosakkan kira-kira 1.39 juta orang pengguna,” katanya

