JOHOR BAHRU: Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun bagi membantu siasatan kes cabul melibatkan seorang pelajar sekolah di kawasan Seri Alam yang tular di media sosial, pada 21 Mei.

Pemangku Ketua Polis Johor, Timbalan Pesuruhjaya Polis (DCP) Hoo Chuan Huat, berkata pihak polis mengesan satu hantaran dimuat naik menerusi Facebook oleh akaun ‘Mohd Fadli Salleh’ berkaitan kejadian cabul berkenaan.

Menurut beliau, susulan hantaran tular itu, polis menerima laporan daripada ibu mangsa kira-kira 9 malam pada 21 Mei.

Jelasnya, pengadu yang juga wanita tempatan berusia 37 tahun memaklumkan kejadian cabul berkenaan dipercayai berlaku sekitar 2025 di kawasan Seri Alam.

“Bertindak atas maklumat, pada 21 Mei 2026 lebih kurang 10.30 malam, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam berjaya menahan seorang suspek lelaki tempatan berusia 28 tahun untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media pada 22 Mei.

DCP Hoo berkata hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek negatif dadah selain tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Menurut beliau, permohonan reman terhadap suspek telah dibuat di Mahkamah Johor Bahru pada 22 Mei mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

Suspek ditahan reman selama enam hari bermula 22 Mei sehingga 27 Mei 2025.

Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana menyentuh mana-mana bahagian badan kanak-kanak.

Jika disabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau komen yang boleh mengganggu siasatan polis.

Terdahulu, satu hantaran Facebook tular yang mendakwa seorang guru berusia 28 tahun telah mencabul kehormatan seorang pelajar perempuan berusia 12 tahun di sebuah sekolah di Seri Alam.

Hantaran tersebut juga mendakwa guru berkenaan dikatakan kembali mengajar dan tiada tindakan tegas telah diambil terhadap kes itu.