KUALA LUMPUR: Sekumpulan 123 rakyat Malaysia telah dibawa pulang oleh kerajaan Malaysia menyusuli rusuhan dan bantahan buruk di Bangladesh.
Mereka dibawa pulang dengan pesawat khas AirAsia, yang tiba di negara itu pada 10 pagi 23 Julai dan pulang ke Malaysia pada kira-kira 4.50 petang hari sama.
Kumpulan itu adalah sebahagian daripada 192 rakyat Malaysia yang berada di Bangladesh, yang menyaksikan ketegangan terburuk dalam beberapa tahun menyebabkan sekurang-kurangnya 147 orang terbunuh.
Seorang penuntut perubatan Malaysia di Mymensingh Medical College, Bangladesh, Encik Ahmad Wafiq Aqil Kamarul, 23 tahun, tidak dapat menggambarkan perasaan leganya apabila rakan sepengajiannya dibawa pulang, berikutan bantahan di negara itu sudah bertukar tragedi ganas.
Encik Ahmad Wafiq, yang pulang ke Malaysia lebih awal pada 18 Julai, berkata beliau hanya dapat tidur sejam sehari sebaik tiba di tanah air kerana risau akan keadaan rakannya, dan mengambil masa lama hingga awal pagi untuk berhubung dengan mereka kerana sekatan talian telefon dan Internet.
“Namun akhirnya saya dapat tidur lena selepas diberitahu semua rakan dan rakyat Malaysia di sana akan dibawa keluar hari ini (23 Julai),” kata penuntut tahun empat Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan itu, lapor Berita Harian Malaysia.
Menceritakan kembali detik kejadian tersebut, Encik Ahmad Wafiq berkata pada awalnya bantahan itu berlangsung secara aman tetapi ia bertukar menjadi ganas.
“Pelajar kolej saya adakan bantahan yang mana mereka berarak di sekeliling hospital, tetapi kami tidak mengambil bahagian atas faktor keselamatan.
“Pada masa sama, kami terima memo daripada Kementerian Pendidikan negara itu yang mana semua sekolah, kolej dan universiti ditutup. Asrama perlu dikosongkan. Jadi, saya terus beli tiket balik ke Malaysia,” ceritanya.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 22 Julai berkata rakyat dan pelajar Malaysia di Bangladesh akan dibawa pulang sebagai langkah menjamin keselamatan mereka.
Bantahan di Bangladesh bermula pada Julai di kampus universiti apabila pelajar menuntut dihentikan sistem kuota yang memperuntukkan 30 peratus pekerjaan dalam sektor awam untuk ahli keluarga veteran yang berjuang dalam perang kemerdekaan Bangladesh pada 1971.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg