Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Saran laluan khas mudahkan rakyat Johor di S’pura pulang mengundi

Aug 30, 2023 | 12:57 PM
LEBIH MUDAH MENGUNDI: Calon Pakatan Harapan (PH), Encik Suhaizan Kayat, mahu mudahkan rakyat Johor yang bekerja di Singapura pulang mengundi.
LEBIH MUDAH MENGUNDI: Calon Pakatan Harapan (PH), Encik Suhaizan Kayat, mahu mudahkan rakyat Johor yang bekerja di Singapura pulang mengundi. - Foto FACEBOOK SUHAIZAN KAYAT

JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen disaran membuka laluan khas di kompleks sempadan Johor-Singapura pada hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pada 9 September ini.

Cadangan itu disuarakan calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Parlimen Pulai, Encik Suhaizan Kayat, kepada kerajaan negeri bagi memudahkan rakyat Johor yang bekerja di Singapura pulang mengundi pada PRK berkenaan.

“Sudah pasti ia disebut dalam cadangan keperluan kepada pengundi Parlimen Pulai yang bekerja di Singapura untuk memudahkan mereka balik mengundi. Tetapi dalam masa sama kita khuatir kerana pada hari itu (Sabtu) adalah hari bekerja.

“Jadi saya bimbang mereka (pengundi yang bekerja di Singapura) tidak sempat mengundi kerana pulang sudah lewat, sebab itu kita minta agar mereka meluangkan masa bercuti satu hari untuk mengundi,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian Malaysia.

Mengulas gerak kempennya, Encik Suhaizan berkata pihaknya menggunakan platform media sosial bagi mendekati pengundi terutama yang bekerja di Singapura.

“Ada beberapa kategori sebenarnya, yang pertama rakyat di bawah Parlimen ini yang bekerja di Singapura dan menetap di sana dalam tempoh mingguan. Jadi kami gunakan media sosial untuk memujuk mereka pulang mengundi.

“Kategori kedua mereka tinggal di Johor Bahru tetapi berulang alik bekerja ke Singapura, kita akan jayakan beberapa program berbentuk mega untuk merayu mereka turun mengundi.

“Kategori ketiga mereka tinggal di sini tetapi kita khuatir ada yang bekerja pada hari Sabtu jadi mereka tidak sempat untuk mengundi kerana lewat. Jadi kita minta mereka dapat luangkan masa untuk mengundi, satu hari (cuti) untuk keluar mengundi,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg