Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sebanyak 10 hingga 13% penjawat awam M’sia muflis antara 2021 dengan 2024

Sep 9, 2024 | 11:09 AM
Foto hiasan
Foto hiasan - Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Jabatan Insolvensi mendedahkan kira-kira 10 hingga 13 peratus daripada kes muflis baru yang didaftarkan di seluruh negara dalam tempoh hampir empat tahun ini membabitkan penjawat awam.

Jumlah kakitangan awam yang muflis itu amat membimbangkan kerana ia semakin meningkat dari tahun ke tahun walaupun data muflis nasional menunjukkan penurunan kes.

Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi, Datuk M Bakri Abd Majid, berkata perkara itu tidak seharusnya berlaku kerana dalam perkhidmatan awam, kakitangan yang mempunyai hutang yang serius (keterhutangan) adalah satu kesalahan dan ia dinyatakan secara jelas di bawah Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Beliau berkata antara faktor menyebabkan muflis dalam kalangan kakitangan awam adalah kerana tata pemikiran dan gaya hidup berisiko hingga menyebabkan mereka terperangkap dalam kitaran hutang berterusan.

“Keterhutangan serius bagi kakitangan sektor awam bermaksud jumlah pendapatan dibawa pulang kurang daripada 40 peratus.

“Di bawah Akta Insolvensi 1967 (Pindaan 2023), mana-mana orang yang mempunyai hutang tertunggak melebihi RM100,000 ($29,969) boleh jatuh muflis melalui tindakan mahkamah.

“Selepas seseorang individu diisytiharkan muflis, pelbagai perkara berkaitan kewangan individu berkenaan akan disekat dan aset dirampas oleh kreditor atau ditadbir oleh Jabatan Insolvensi,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Mengulas lanjut, Datuk M Bakri berkata sehingga Julai lalu, Jabatan Insolvensi merekodkan 159,781 kes muflis di serata negara.

Beliau berkata dalam sesetengah kes terdapat penjawat awam yang memohon untuk jatuh muflis bagi mengurangkan tekanan hutang yang berpanjangan.

Menurutnya, kegagalan kakitangan awam menguruskan kewangan dengan baik bukan saja boleh memberi kesan kepada individu dan keluarga, bahkan juga kepada ekosistem perkhidmatan awam negara.

“Bagi penjawat awam yang diisytiharkan bankrap, tindakan tatatertib boleh diambil akibat keterhutangan yang serius, selain mencemarkan imej perkhidmatan awam.

“Hukuman tatatertib yang diterima boleh menjejas peluang kenaikan gaji dan pangkat, selain menjejas kelayakan pembayaran bonus, bantuan kewangan dan sebagainya,” katanya.

Justeru, Datuk M Bakri berkata ketua jabatan perlu memantau tahap keterhutangan kakitangan seliaan masing-masing dan tidak boleh hanya beranggapan semuanya dalam keadaan baik, selain perlu peka dengan perubahan kelakuan kakitangan.

Sementara itu, beliau berkata pengumuman kenaikan gaji penjawat awam oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini memberi kelegaan dan mengurangkan keresahan penjawat awam.

Bagaimanapun, katanya, ada pihak yang cuba ‘menangguk di air keruh’ dengan menawarkan pinjaman baru yang tidak sihat kepada penjawat awam.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg