JOHOR BAHRU: Semua sekolah di Johor dijadual kembali beroperasi sepenuhnya pada 28 Oktober, tertakluk kepada perkembangan mutu udara, manakala kehadiran pada 26 dan 27 Oktober dihadkan kepada murid yang perlu menduduki peperiksaan.

Ketetapan terkini itu memperincikan pengumuman kerajaan negeri pada 24 Oktober yang sebelum ini menyatakan semua institusi pendidikan akan beroperasi semula mulai 26 Oktober.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Dr Muhammad Naqib Md Ghazali, berkata pembukaan semula dilaksanakan dalam dua fasa bagi memastikan kelancaran peperiksaan serta memberi ruang kepada pihak sekolah membuat persediaan.

Menurutnya, fasa pertama pada 26 dan 27 Oktober hanya melibatkan kehadiran murid yang menduduki peperiksaan mengikut jadual ditetapkan.

“Tempoh ini juga akan memberi ruang kepada pihak pentadbiran sekolah dan guru-guru untuk melaksanakan persiapan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan pada 25 Oktober.

Fasa kedua pula bermula pada 28 Oktober, apabila semua sekolah dijadual beroperasi seperti biasa, tertakluk kepada perkembangan semasa mutu udara.

Dr Naqib berkata Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) akan menyelaraskan prosedur operasi standard (SOP) kesihatan dan keselamatan, termasuk pemakaian pelitup muka.

Kegiatan persekolahan turut dipantau berdasarkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) semasa serta garis panduan yang berkuat kuasa.

“Kerajaan Negeri Johor bersama agensi berkaitan akan terus memantau perkembangan keadaan jerebu secara berterusan bagi memastikan sebarang tindakan lanjut dapat dilaksanakan berdasarkan penilaian keadaan semasa,” katanya.

Terdahulu, dalam kenyataan pada 24 Oktober, Dr Naqib berkata keputusan membuka semula institusi pendidikan dibuat selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Johor, dengan mengambil kira perkembangan jerebu dan penilaian agensi berkaitan.

Menurutnya, bacaan IPU di seluruh Johor menunjukkan trend penurunan dalam tempoh lima hari sebelum pengumuman itu.

Perubahan arah angin mulai 24 Oktober, peningkatan kelembapan serta jangkaan hujan juga bakal membantu mengurangkan kesan jerebu.

Beliau berkata penilaian risiko oleh Jabatan Kesihatan Negeri Johor menjadi pertimbangan utama bagi menjaga keselamatan murid, guru dan warga sekolah.

Keputusan itu turut mengambil kira keperluan peperiksaan akhir tahun serta persediaan menghadapi SPM.

Sebarang perubahan atau tindakan lanjut berhubung pengoperasian sekolah akan dimaklumkan melalui saluran rasmi dari semasa ke semasa.