Topik diikuti
Pergi ke BHkuSekolah Johor ditutup hingga 23 Okt, pelajar Tingkatan 5 dan 6 dibenar belajar bersemuka
Sekolah Johor ditutup hingga 23 Okt, pelajar Tingkatan 5 dan 6 dibenar belajar bersemuka
Sekolah Johor ditutup hingga 23 Okt, pelajar Tingkatan 5 dan 6 dibenar belajar bersemuka
JOHOR BAHRU: Sekolah di Johor ditutup selama lima hari lagi mulai 19 hingga 23 Oktober akibat jerebu, namun pelajar Tingkatan 5 dan 6 dibenarkan mengikuti pembelajaran bersemuka bagi persediaan peperiksaan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
Beberapa peperiksaan dan pentaksiran turut diteruskan mengikut jadual, dengan semua calon serta petugas diwajibkan memakai pelitup.
Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ), dalam kenyataan pada 18 Oktober, memaklumkan bahawa penutupan itu mengambil kira peningkatan mingguan sebanyak 20.7 peratus bagi kes asma dan jangkitan saluran pernafasan atas (URTI).
Keputusan tersebut turut mengambil kira risiko pergerakan angin berterusan dari Kalimantan ke arah utara serta unjuran cuaca bagi tiga hingga empat hari berikutnya.
Peperiksaan dan pentaksiran yang diteruskan ialah Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Matriks Pembelajaran Tahun 4 (MPT4), ujian lisan Malaysian University English Test (Muet), Pentaksiran Mata Pelajaran Aliran Kemahiran (MPAK) dan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK).
Pelaksanaannya perlu mematuhi Surat Pekeliling Lembaga Peperiksaan Bilangan 1/2005 mengenai Persediaan Menghadapi Jerebu yang Mengancam Perjalanan Peperiksaan, atau Operasi Topeng.
“Semua murid dan petugas diwajibkan memakai pelitup semasa pentaksiran dan peperiksaan dilaksanakan,” menurut kenyataan itu.
Sepanjang penutupan, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dilaksanakan bagi memastikan pembelajaran dapat diteruskan.
“Bagi tujuan persediaan peperiksaan SPM dan STPM, murid Tingkatan 5 dan 6 dibenarkan bersemuka dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard yang ketat,” menurut JPNJ.
Bagi sekolah berasrama, murid diminta kekal di asrama sepanjang tempoh tersebut. Pengurusan murid, guru dan warden tertakluk kepada keputusan serta pertimbangan pengetua atau guru besar, dengan mengambil kira kebajikan, keselamatan dan kesejahteraan semua pihak.
Guru dan kakitangan sekolah turut dibenarkan bekerja dari rumah berdasarkan pertimbangan Menteri Pendidikan. Bagaimanapun, mereka boleh hadir ke sekolah atas keperluan perkhidmatan.
Pegawai JPNJ dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) pula bertugas seperti biasa.
Pengoperasian institusi pendidikan swasta sepanjang tempoh jerebu diserahkan kepada pertimbangan dan keputusan institusi masing-masing.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Dr Muhammad Naqib Md Ghazali, mengumumkan pelanjutan penutupan selepas Mesyuarat Penyelarasan Pengurusan Jerebu Negeri Johor pada 17 Oktober.
Menurutnya, laporan pemantauan menunjukkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) masih membimbangkan tanpa perubahan ketara.
Beliau memaklumkan bahawa sebanyak 30,648 kes asma dan URTI direkodkan sepanjang Oktober setakat kenyataan itu dikeluarkan, dengan peningkatan mingguan sebanyak 20.7 peratus.
Dr Naqib berkata kerajaan negeri memahami bahawa penutupan berpanjangan memberi kesan kepada rutin pembelajaran murid dan guru, pengurusan institusi pendidikan serta urusan harian ibu bapa.
“Namun demikian, pertimbangan terhadap keselamatan dan kesihatan murid perlu terus diberikan keutamaan, di samping memastikan keperluan pendidikan dapat dipenuhi melalui pendekatan yang bersesuaian,” katanya.