Selepas ‘bertegang urat’ atas beberapa isu dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), yakni rakan dalam gabungan pembangkang Perikatan Nasional (PN) sejak seminggu lalu, Parti Islam SeMalaysia (PAS) menyatakan komitmen untuk terus teguh bersama PN.
Kenyataan itu ditegaskan Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad, yang menekankan kepentingan untuk gabungan PN terus teguh bekerjasama terutama dalam cabaran menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) yang dijangka sebelum 2028.
Menurutnya, usai perhimpunan agung (PAT) dan muktamar tahunan masing-masing pada 7 dan 16 September, setiap parti membuat pelbagai keputusan di peringkat parti dan ia wajar dihormati semua pihak.
“PAS menegaskan komitmen untuk terus bersama rakan-rakan gabungan dalam PN dalam usaha menghadapi PRU16.
“Perpaduan dalam gabungan ini adalah kekuatan utama bagi memperjuangkan kepentingan rakyat dan negara, di samping memperkasa PN sebagai sebuah gabungan politik yang lebih utuh, berprinsip dan berpandangan jauh,” katanya dalam satu kenyataan pada 19 September.
Datuk Idris berkata dengan tempoh PRU16 yang kian hampir, PN perlu terus mengutamakan isu rakyat yang semakin mencengkam kehidupan seharian mereka.
“Antara yang perlu diberi perhatian ialah pembelaan terhadap Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB), isu kematian Allahyarham Zara Qairina yang disyaki menjadi mangsa buli, kesan penyasaran subsidi petrol RON95, isu kos sara hidup, serta pelbagai lagi permasalahan rakyat yang mana rakyat mengharapkan PN untuk membela mereka,” katanya.
Sejak dua minggu lalu, PAS dan Bersatu saling berbalas kenyataan panas membabitkan beberapa hal termasuk penentuan calon perdana menteri selepas PRU16, siapakah yang patut mengetuai PN dan dana pilihan raya yang digunakan pada PRU15 lalu.
PAS tidak berpuas hati dengan tindakan Bersatu menamakan Pengerusi PN yang juga Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebagai calon Perdana Menteri ke-11 usai PAT Bersatu pada 7 September lalu, dan mahu mengambil alih tampuk kepimpinan PN yang kini dipegang Bersatu.
Malah, kededua parti turut bertelagah mengenai isu dana pilihan raya dengan PAS mendakwa Bersatu tiada dana untuk mengetuai PN dan menempuh PRU16.
Ia kemudian dibalas dengan kenyataan ahli Bersatu yang juga orang kanan Tan Sri Muhyiddin bahawa Bersatu menanggung perbelanjaan PN dan menyumbang dana kepada PAS ketika berdepan PRU15.
Datuk Idris yang juga Pesuruhjaya PAS Perak turut menegaskan bahawa Himpunan Mega Tolak URA (PSB) akan diadakan pada 4 Oktober 2025.
“Justeru PAS menjemput semua pihak untuk hadir bersama bagi memperjuangkan nasib rakyat selepas akta ini dikuatkuasakan kelak.
“PAS yakin dengan kebersamaan dan kesungguhan seluruh komponen PN, kita mampu menawarkan penyelesaian yang lebih baik, adil dan saksama kepada rakyat Malaysia.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg