Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Sampai masanya, PAS sandang jawatan Perdana Menteri’

Sep 12, 2025 | 1:18 PM
politik M’sia, PAS, isu Perdana Menteri
Ketua Dewan Ulama Parti Islam SeMalaysia (PAS) Pusat, Datuk Ahmad Yahaya. - Foto FACEBOOK USTAZ HILMI DATO’ HARUN

KOTA SARANG SEMUT (Kedah): Kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) lebih menjadi keutamaan Parti Islam SeMalaysia (PAS), berbanding menentukan siapa calon yang akan menjadi Perdana Menteri ke-11.

Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Ahmad Yahaya, bagaimanapun dalam masa yang sama tidak menafikan terdapat keyakinan bahawa pemimpin PAS akan menjadi Perdana Menteri apabila masa yang sesuai tiba.

Beliau berkata situasi itu dapat dilihat apabila PAS tidak pernah menamakan calon Menteri Besar di negeri yang dikuasainya, namun apabila sampai masanya pemimpin parti itu tetap dipilih.

“Pada kita PAS ini mudah, fokus utama ialah kita menang pilihan raya. Jadi untuk itu, kita kena pastikan jentera pilihan raya, pastikan gerak kerja kita terbaik, tumbangkan dulu kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional ini.

“Maka selepas itu akan ditentukan orang yang layak. Lebih-lebih lagi jawatan Perdana Menteri ini mesti mendapat perkenan daripada Agong.

“Saya mudah dalam kepimpinan negara ini, pandangan saya ialah sampai masa PAS akan menjadi Perdana Menteri. Jadi, sampai masa, akan ada orang yang ditentukan sebagai Perdana Menteri,” katanya ketika ditemui pada Muktamar Dewan Pemuda PAS pada 11 September.

Mengulas mengenai tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menamakan calon Perdana Menteri ke-11 pada Persidangan Agung Tahunannya pada 7 September, Datuk Ahmad berkata perkara itu adalah hak parti berkenaan.

Beliau, yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah, menjelaskan bahawa perkara sama juga boleh dilakukan PAS dengan mengemukakan sebarang usul pada Muktamar, lapor Berita Harian Malaysia.

“Apa yang kita faham itu adalah PAT (Perhimpunan Agung Tahunan) Bersatu. Jadi, ahli dan kepimpinan Bersatu ada hak sebab itu mesyuarat dia untuk membuat usul dan membuka pandangan terhadap masa depan negara.

“Cuma dalam konteks Perikatan Nasional (PN), sudah tentu keputusan mesti dibuat bersama. Tapi untuk parti masing-masing, macam PAS juga, kita pun ada hak dalam muktamar untuk kemukakan apa-apa usul. Kalau Parti Gerakan, mungkin dia ada pandangan dia pula,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg