Topik diikuti
Pergi ke BHkuSemangat cinta ilmu, budaya membaca A. Samad Said dikenang
Jenazah Sasterawan Negara selamat disemadi pada pagi 25 Nov di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, KL
Semangat cinta ilmu, budaya membaca A. Samad Said dikenang
Jenazah Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk Seri A. Samad Said, selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Kuala Lumpur, pada 10.50 pagi 25 November.
Allahyarham yang meninggal dunia pada 6.10 petang, 24 November di usia 91 tahun, disolatkan di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar, Kuala Lumpur, dengan dipimpin Imam 1 masjid berkenaan, Encik Muhammad Abid Ayob, kira-kira 10 pagi.
Anak bongsu Allahyarham, Encik Az Abdul Samad, 45 tahun, ketika ditemui di tanah perkuburan itu merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang membantu dalam pengebumian dan mendoakan bapanya.
Selain mengharapkan semua pihak terus mendoakan bapanya, Encik Az turut berharap legasi contoh yang ditunjukkan tokoh sastera dan kewartawanan itu terutama kecintaan terhadap ilmu dan budaya membaca, akan terus dijadikan ikutan terutama untuk generasi muda.
“Saya tidak dapat bercakap bagi pihak ayah saya (yang sudah tiada), tetapi ayah saya barangkali akan berkata, baca, baca dan baca.
“Saya rasa yang paling penting, ayah saya sehingga usia lanjut tak berhenti membaca dan menelaah buku.
“Kadang kala buku itu dibaca berulang kali.
“Jadi pada peringkat apa pun, kita sentiasa boleh meningkatkan ilmu dan pengalaman kita, dan (perbaiki diri) daripada pengalaman orang lain dalam pembacaan kita.
“Insya-Allah, saya harap contoh ini boleh dijadikan inspirasi untuk kita amalkan dan memperbaiki diri kita,” katanya ketika ditemui di tanah perkuburan itu usai upacara pengebumian Allahyarham.
Turut hadir semasa pengebumian itu ialah isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; veteran Parti Tindakan Demokratik (DAP), Tan Sri Lim Kit Siang, dan ratusan ahli keluarga, sahabat, kenalan termasuk golongan seniman.
Dr Wan Azizah tidak dapat menahan sebak mengenangkan Allahyarham yang menurutnya bukan sahaja dikenali menerusi karya-karya agung, malah turut menjadi sumber kekuatan dan inspirasi kepada keluarganya, khususnya ketika Datuk Anwar dipenjarakan.
“Sokongan dan semangat yang diberikan Allahyarham ketika itu banyak membantu untuk kita terus tabah memperjuangkan cita-cita serta keadilan,” katanya.
Dalam pada itu, Encik Az juga menyifatkan bapanya sebagai seorang yang serius tetapi lucu dan sentiasa memberi contoh terbaik kepada anak-anak.
“Beliau ayah yang amat jujur dengan diri sendiri dan tahu memberi contoh serta nasihat apabila perlu dan kadang-kadang beri peluang kita belajar dari kesilapan kita.
“Saya bersyukur dapat kongsi banyak masa dan pengalaman dengan beliau,” katanya sebak.
Datuk A. Samad meninggalkan seorang isteri, Datin Seri Rashidah Mohd Dahan dan lima anak. Isteri pertamanya, Allahyarham Saleha Abdul Rashid, atau lebih dikenali dengan nama penanya Salmi Manja, yang meninggal dunia pada 2023.
Tan Sri Lim ketika ditanya pandangannya mengenai Allahyarham sewaktu ditemui Berita Harian (BH) di tanah perkuburan itu, hanya berkata ringkas “he was a great man” (beliau seorang tokoh agung).
Tokoh wartawan negara, Datuk A Kadir Jasin, pula menyifatkan Allahyarham Datuk A. Samad merupakan antara generasi terakhir wartawan yang bermula sebagai sasterawan, mencerminkan hubungan rapat antara dunia kewartawanan dengan kesusasteraan pada zamannya.
Beliau pernah bekerja dalam kumpulan akhbar, The New Straits Times Press (NSTP), bersama Allahyarham untuk suatu tempoh yang agak panjang, ketika Datuk A. Samad yang juga dikenali sebagai Pak Samad berkhidmat di Berita Harian (BH) Malaysia.
“Pada zaman itu, ramai wartawan memulakan kerjaya dengan latar belakang kesusasteraan, menjadikan Allahyarham antara tokoh yang berjaya menguasai kedua-dua bidang berkenaan.
“Meskipun Pak Samad turut mencipta nama dalam bidang kewartawanan, masyarakat lebih mengenang sumbangannya sebagai seorang sasterawan,” katanya.
Bagi ahli perniagaan yang pernah aktif dalam politik Malaysia, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, pemergian Datuk A. Samad satu kehilangan besar yang tiada galang gantinya, bukan sahaja kepada dunia kesusasteraan Malaysia, malah di rantau Asean.
Allahyarham ialah tokoh sastera yang dikaguminya sejak zaman persekolahan, malah karya penulis tersohor itu katanya turut menjadi sumber inspirasi dalam kehidupannya.
“Saya sebenarnya boleh dikatakan peminat ‘taasub’ yang mengidolakan penulisan Allahyarham sejak di bangku sekolah lagi.
“Penulisan beliau bukan sekadar kreatif, tetapi pada tahap heavyweight, dengan mutu yang terlalu tinggi,” katanya ketika ditemui di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq.
Datuk Khairuddin berkata hubungan mereka menjadi rapat apabila Allahyarham banyak memberikan semangat dan dorongan kepadanya ketika berdepan kes berkaitan pendedahannya mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 2015.
Katanya, selepas dibebaskan daripada tahanan, beliau beberapa kali bertemu Allahyarham yang dianggapnya seperti seorang bapa, terutama ketika melalui tempoh sukar dalam kehidupannya.
Malah beliau berkata isterinya, pelakon Datin Seri Umie Aida, serta keluarga isterinya, khususnya kakak iparnya, Erma Fatima, turut mempunyai hubungan rapat dengan Allahyarham.
Bagaimanapun, Datin Umie dan Erma tidak dapat hadir memberikan penghormatan terakhir kerana berada di Yogyakarta sejak 21 November, bagi menjalani penggambaran filem terbaharu arahan Erma.
“Pada usia 91 tahun, Allahyarham masih mempunyai semangat yang tinggi dalam memperkatakan hal ehwal kenegaraan. Itulah seorang tokoh sasterawan negara yang cukup tulen,” ujarnya.
Penyanyi dan pemuzik, Khairil Ridzwan Anuar, atau lebih dikenali sebagai Loque, pula berkata pemergian Sasterawan Negara keempat itu disifatkan sebagai hari gelap buat dunia sastera tanah air yang kini berdepan cabaran untuk terus mendapat tempat dalam masyarakat.
“Allahyarham bukan sekadar tokoh sastera, malah boleh dianggap sebagai adiguru bahasa Melayu, sastera, seni dan budaya yang karya-karyanya banyak memberikan inspirasi kepada penggiat seni, termasuk saya sendiri.
“Pengaruh karya Allahyarham begitu besar sehingga saya sendiri pernah menghasilkan lagu yang diinspirasikan daripada sajak Allahyarham, pada 2024,” katanya, yang popular dengan nyanyian duet monoloQue bersama Atilia Haron bertajuk, Kekanda Adinda.
Menurut Loque yang juga bekas gitaris kumpulan Butterfingers itu, pemergian Allahyarham juga seharusnya menjadi peringatan kepada penggiat seni untuk terus mengangkat martabat bahasa Melayu dan memperkembangkan sastera supaya kekal relevan dalam era globalisasi.