KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah menyita pelbagai barang bernilai sekitar RM920 juta ($263 juta) sepanjang 2023 dalam Operasi (Op) Kontraban, Op Tiris dan Op Bersepadu Khazanah.
Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) melakukan 7,033 serbuan dalam operasi itu dengan 5,099 tangkapan.
Pengarah JKDNKA, Datuk Seri Hazani Ghazali, berkata kejayaan itu hasil serbuan dan operasi dijalankan Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas, Pasukan Gerakan Am, Pasukan Polis Marin dan Pasukan Simpanan Persekutuan.
“JKDNKA amat komited dalam membantu kementerian serta agensinya dengan melancarkan operasi bermutu sehingga berjaya.
“Antaranya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara dan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Menurutnya, jabatan beliau sentiasa memberi tumpuan dalam usaha memerangi kegiatan penyeludupan barang tidak bercukai, penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi serta memelihara khazanah negara supaya dapat memastikan hasil negara sentiasa dilindungi dan terus terpelihara.
“Penglibatan dan kerjasama orang ramai dalam menyalurkan maklumat kepada polis amatlah digalakkan agar kegiatan jenayah seperti ini dapat dibanteras sepenuhnya,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg