Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sikap pemalu: Keistimewaan atau kelemahan?

Jan 2, 2026 | 2:45 PM
Pemalu, shyness
Sikap pemalu mempunyai keistimewaan tersendiri dan tidak semestinya membawa keburukan.  - Foto fail

Sikap pemalu sering dikaitkan dengan sifat pendiam, kurang bercakap, dan tidak gemar menonjolkan diri di hadapan orang ramai.

Dalam masyarakat hari ini yang menekankan keyakinan diri, keberanian bersuara dan kebolehan berinteraksi secara aktif, sikap pemalu kerap dianggap sebagai satu kelemahan.

Namun begitu, jika diteliti dengan lebih mendalam, sikap pemalu sebenarnya mempunyai keistimewaan tersendiri dan tidak semestinya membawa keburukan.

Oleh sebab sikap pemalu sering diperdebatkan, timbul persoalan sama ada sikap ini merupakan kelemahan semata-mata, atau sebenarnya satu keistimewaan yang kurang dihargai? 

Dari satu sudut, sikap pemalu sering dilihat sebagai kelemahan kerana individu yang pemalu sering mengalami kesukaran untuk menyuarakan pendapat, terutamanya dalam situasi formal seperti perbincangan kelas, pembentangan atau temu duga.

Keadaan ini boleh menyebabkan idea bernas yang dimiliki tidak diketengahkan, lapor Berita Harian Malaysia.

Dalam dunia pendidikan dan pekerjaan, mereka yang petah bercakap dan berani tampil ke hadapan sering mendapat perhatian serta peluang yang lebih luas.

Oleh itu, individu pemalu mungkin berisiko ketinggalan walaupun mempunyai kebolehan yang tinggi.

Selain itu, sikap pemalu juga boleh menyukarkan seseorang untuk membina hubungan sosial.

Individu pemalu biasanya mengambil masa yang lama untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu dan berkenalan dengan orang lain.

Keadaan ini boleh menyebabkan mereka berasa terasing atau disalah anggap sebagai sombong, malah ada yang menjadi mangsa buli.

Dalam jangka masa panjang, kekurangan interaksi sosial boleh menjejaskan keyakinan diri dan perkembangan emosi individu.

Walau bagaimanapun, sikap pemalu tidak wajar dilabel sebagai kelemahan sepenuhnya.

Sebaliknya, sikap ini mempunyai banyak keistimewaan yang sering tidak disedari.

Individu pemalu lazimnya bersifat pemerhati dan pendengar yang baik.

Mereka lebih gemar mendengar sebelum bercakap, sekali gus mampu memahami situasi dan perasaan orang lain dengan lebih mendalam.

Sifat ini amat penting dalam membina hubungan yang jujur dan harmoni, kerana tidak semua orang mampu menjadi pendengar yang baik. 

Orang yang pemalu juga biasanya lebih berhati-hati dalam tindakan dan pertuturan.

Mereka tidak mudah bercakap tanpa berfikir atau bertindak secara terburu-buru.

Sikap ini membantu mereka mengelakkan konflik dan kesilapan yang boleh menjejaskan hubungan dengan orang lain.

Dalam dunia yang penuh persaingan dan tekanan, sikap tenang serta berhati-hati merupakan satu kelebihan yang amat bernilai.

Sikap pemalu sering dikaitkan dengan sifat rendah diri dan kesopanan.

Individu pemalu tidak suka menunjuk-nunjuk atau meninggi diri, sebaliknya lebih selesa bekerja dalam diam dan membiarkan hasil kerja mereka berbicara.

Selain rasa rendah diri, sikap pemalu juga mampu menjaga hawa nafsu.

Tingkah laku yang membawa kepada keburukan dapat dihalang kerana adanya rasa malu, sekali gus memastikan kehormatan diri sentiasa dipelihara.

Kesimpulannya, sikap pemalu bukanlah satu kelemahan mutlak, malah boleh menjadi satu keistimewaan jika diurus dengan baik.

Walaupun sikap ini mungkin menghadkan seseorang dalam aspek komunikasi dan interaksi sosial, kelebihan seperti kebijaksanaan berfikir, kepekaan emosi, dan kesopanan tidak boleh dipandang ringan.

Oleh itu, individu pemalu tidak seharusnya memaksa diri untuk berubah sepenuhnya, sebaliknya perlu belajar menyeimbangkan sifat pemalu dengan keberanian yang sesuai mengikut situasi.

Dengan cara ini, sikap pemalu bukan sahaja menjadi kekuatan diri, malah mampu menyumbang kepada kejayaan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg