Kemudaratan dalam talian seperti buli siber, pendedahan kepada pornografi, dan penyebaran maklumat palsu bukan isu baru, namun ia kini menjadi lebih sukar dikesan dan mudah diakses kanak-kanak dengan adanya kecerdasan buatan (AI).
Justeru, adalah penting untuk ibu bapa mula berbincang dengan anak mereka tentang keselamatan dalam talian seawal peringkat prasekolah.
Demikian menurut beberapa pakar dihubungi Berita Harian (BH) berkenaan peranan ibu bapa dalam memupuk tabiat digital yang sihat dalam diri anak mereka.
Kaunselor dan Pendidik Kehidupan Keluarga, Encik Chong Ee Jay, berkata statistik di Singapura menunjukkan bahawa kanak-kanak kini sudah mempunyai akses kepada peranti digital dan Internet sebelum mereka masuk ke sekolah rendah.
“Oleh itu, adalah amat penting bagi ibu bapa untuk mula berbincang dengan anak mereka tentang keselamatan dalam talian sebelum mereka mula memasuki ruang digital.
“Jika ibu bapa bersedia membenarkan anak kecil mereka menggunakan telefon pintar untuk bermain permainan atau menonton video dalam talian, mereka juga mesti mula berbincang tentang keselamatan digital,” jelasnya.
Namun, beliau berkata keterbukaan mengenai topik itu tidak terbina dalam sekelip mata, tetapi melalui pendekatan harian yang konsisten antara ibu bapa dengan anak.
Menerusi pendekatan harian tersebut, anak-anak akan rasakan ruang selamat untuk berinteraksi bersama ibu bapa mereka.
Pendidik kehidupan keluarga yang juga pengasas bersama kumpulan ibu bapa SGFamilies, Cik Esther Foong-Tan, berpendapat bahawa perbincangan seawal peringkat prasekolah itu tidak bermakna menakutkan anak-anak.
“Perbincangan awal meletakkan asas untuk literasi digital yang lebih mendalam pada masa akan datang, termasuk membuat pilihan, mengawal diri, memahami keputusan moral, dan menavigasi kawasan tidak tentu dalam talian.
“Ini amat penting terutamanya dengan peningkatan kandungan berbahaya yang bersifat halus.
“Kandungan sebegini tidak semestinya merupakan video berunsur keganasan atau tidak sesuai yang biasanya sering difikirkan oleh ibu bapa,” terang Cik Foong-Tan, yang juga pengasas bersama syarikat The Treasure Box Singapore, yang menawarkan keluarga dengan sumber keibubapaan dan latihan.
Ketua dan Profesor Madya, Jabatan Komunikasi dan Media Baru di Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr Natalie Pang, berkata kanak-kanak kecil boleh terdedah kepada kandungan berbahaya dan tidak sesuai untuk umur mereka disebabkan pendedahan awal kepada media sosial.
“Ada kanak-kanak mungkin mengikuti pencipta kandungan yang menyebarkan maklumat palsu atau menggalakkan tingkah laku berisiko, contohnya, trend yang tular, berbahaya atau diet tidak sihat.
“Kini, terdapat jauh lebih banyak wadah, begitu juga dengan lebih ramai pemangsa yang berlegar-legar di dalam talian dan menunggu peluang untuk mempengaruhi atau menipu kanak-kanak,” katanya.
Tambah Dr Pang, risiko dihadapi kanak-kanak telah berubah dalam banyak cara sejak kebelakangan ini.
Menurutnya, kandungan yang dilihat kanak-kanak kecil di pelbagai wadah kini sangat dipacu oleh algoritma.
“Kandungan tersebut boleh menjadi lebih sukar dikesan dan boleh meningkat kepada sesuatu lebih ekstrem.
“Pendedahan berlebihan kepada video pendek serta kandungan yang melibatkan pelbagai deria juga menimbulkan kebimbangan tentang masalah tumpuan dalam kalangan kanak-kanak kecil,” tambahnya.
Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, berkata pemerintah akan terus memperkukuh undang-undang bagi melindungi kanak-kanak daripada kemudaratan dalam talian.
Namun, beliau menitik berat peri pentingnya usaha mendidik masyarakat tentang keselamatan digital sebagai komponen penting yang melengkapi peraturan sedia ada.
Cik Rahayu berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan BH mengenai usaha pemerintah untuk memperkukuh literasi digital kanak-kanak terhadap kemudaratan dalam talian.
“Jika perlu, pemerintah akan memperkukuh undang-undang untuk melindungi anak-anak kita daripada bahaya dalam talian dengan lebih baik.
“Tetapi kita tahu bahawa perundangan bukanlah satu-satu huraiannya. Pendidikan awam ialah pelengkap penting kepada peraturan.
“Dan dalam keadaan tertentu, pendidikan awam boleh menangani punca isu secara lebih langsung dengan melengkapkan individu dengan tabiat digital yang sihat untuk kekal selamat dalam talian,” jelas Cik Rahayu.
Menukil dapatan Kajian mengenai Keibubapaan Digital yang dijalankan Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) pada Februari 2025, beliau berkata ibu bapa mahukan lebih banyak sokongan daripada pemerintah untuk membantu mereka menguruskan kegiatan digital anak.
Ini termasuk sokongan seperti sumber maklumat, panduan, bengkel, dan kumpulan sokongan rakan sebaya.
“Kami sedang berusaha menjadikan sokongan keibubapaan digital sedemikian lebih berguna dan mudah diakses dengan menyesuaikannya mengikut pelbagai peringkat dalam perjalanan keibubapaan, berdasarkan tahap perkembangan anak serta pencapaian digital mereka,” terang Cik Rahayu.
Beliau turut menarik perhatian kepada set sumber yang dilancarkan Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) pada 1 November untuk membantu ibu bapa memupuk tabiat digital yang sihat dalam diri anak mereka.
Dilancarkan semasa Pesta Digital Sepanjang Hayat (Digital for Life Festival) 2025 di Heartbeat@Bedok, set sumber itu menasihati ibu bapa untuk menetapkan peraturan jelas dan kawalan ibu bapa untuk penggunaan peranti, mengajar kanak-kanak berfikir sebelum mereka menyiarkan kandungan, melaporkan kandungan tidak sesuai, serta mengadakan perbincangan terbuka tentang perkara yang dilakukan oleh anak dalam talian.
Menurut Cik Rahayu, keempat-empat tindakan itu merupakan asas bagi kanak-kanak membangunkan tabiat digital yang sihat sejak awal, sekaligus membuka jalan bagi mereka menjadi pengguna digital yang bijak dan bertanggungjawab.
“Pemerintah juga akan secara proaktif mendekati ibu bapa dengan bekerjasama bersama rakan kongsi masyarakat untuk membangunkan program bersemuka seperti bengkel, bagi membekalkan ibu bapa dengan kemahiran bagi membimbing anak mereka cara kekal selamat dalam talian.
“Kami berharap dapat mencetuskan usaha seluruh masyarakat untuk menyokong keibubapaan pada era digital ini.
“Bersama-sama dengan pertubuhan masyarakat dan pihak industri, kita dapat memperkukuh usaha antara satu sama lain dalam memupuk tabiat digital yang sihat dalam kalangan generasi muda,” kongsinya.
Menurut Kajian mengenai Keibubapaan Digital, seramai 81 peratus ibu bapa bimbang anak mereka terdedah kepada kandungan tidak sesuai.
Kajian itu, yang melibatkan seramai 1,986 ibu bapa penduduk Singapura dengan anak-anak berusia dua hingga 17 tahun, turut mendedahkan bahawa 57 peratus ibu bapa bimbang anak mereka berinteraksi dengan orang asing dalam talian, manakala 54 peratus bimbang tentang buli siber.
Sementara itu, dapatan daripada Kajian Persepsi Pendigitalan dan Kajian Persepsi Dasar Negara Bijak dijalankan MDDI pada awal 2025 menunjukkan bahawa kandungan berbahaya paling kerap ditemui ialah kandungan yang menyokong kegiatan haram seperti penipuan (33 peratus), kandungan berunsur seksual (26 peratus) atau keganasan (24 peratus), buli siber (20 peratus), serta kandungan yang boleh mencetuskan ketegangan kaum atau agama (16 peratus).
“Ini amat membimbangkan, terutamanya dengan jumlah masa yang semakin banyak dihabiskan kanak-kanak dalam talian,” ujar Cik Rahayu.
Tambahnya, pemerintah juga menyedari akan kemudaratan dalam talian baru seperti kandungan deepfake (palsu mendalam) yang dihasilkan oleh kecerdasan buatan (AI).
Tanda-tanda anak anda mungkin terdedah kepada kandungan digital
– Ketakutan, sukar tidur atau mimpi ngeri berulang: Kanak-kanak yang terdedah kepada kandungan seram atau ganas secara berlebihan boleh berasa takut sehingga menjejaskan tidur mereka.
– Rasa malu, bersalah dan tingkah laku berahsia: Tanda ini sering muncul apabila kanak-kanak terdedah atau ketagih menonton kandungan pornografi. Mereka mungkin bergelut antara nilai moral dan keinginan emosi, menyebabkan rasa bersalah tetapi masih terdorong untuk terus menonton secara sembunyi.
– Marah dan tingkah laku agresif: Ini lazim berlaku bagi kanak-kanak yang mungkin terlalu banyak menonton kandungan digital berunsur ganas sehingga ia menjadi sesuatu yang normal bagi mereka, lalu mendorong mereka untuk bertindak agresif.
Langkah boleh diambil ibu bapa jika mengesyaki anak hadapi kemudaratan dalam talian
– Cari masa sesuai untuk berbual secara individu dengan anak. Masa yang sesuai mungkin ketika makan bersama, berjalan-jalan di taman atau semasa membeli-belah.
– Elakkan memulakan perbualan ketika anak sedang melakukan kerja sekolah, sebelum waktu tidur atau ketika mereka sedang bermain permainan.
– Maklumkan kepada anak bahawa anda perasan perubahan pada tingkah laku mereka dan ingin tahu bagaimana keadaan mereka sebenarnya.
– Yakinkan anak bahawa perbualan ini disebabkan prihatin terhadap kesejahteraan mereka, bukan untuk memarahi atau menghukum sebarang kesilapan atau salah laku yang mungkin berlaku.
– Jika anak mengalami kemudaratan dalam talian, tanya perasaan mereka tentang insiden itu dan sama ada mereka telah memberitahu mana-mana pihak, seperti guru.
– Bincangkan langkah-langkah praktikal untuk membantu anak mendapatkan semula rasa kawalan dan melindungi diri mereka. Contohnya, membuat laporan kepada pihak berkuasa, mengambil gambar sebagai bukti, dan berjumpa kaunselor sekolah untuk sokongan emosi.
“
“Jika perlu, pemerintah akan memperkukuh undang-undang untuk melindungi anak-anak kita daripada bahaya dalam talian dengan lebih baik. Tetapi kita tahu bahawa perundangan bukanlah satu-satu huraiannya. Pendidikan awam ialah pelengkap penting kepada peraturan. Dan dalam keadaan tertentu, pendidikan awam boleh menangani punca isu secara lebih langsung dengan melengkapkan individu dengan tabiat digital yang sihat untuk kekal selamat dalam talian.”“
“Jika ibu bapa bersedia membenarkan anak kecil mereka menggunakan telefon pintar untuk bermain permainan atau menonton video dalam talian, mereka juga mesti mula berbincang tentang keselamatan digital.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg