Pasukan Gerakan Am (PGA) telah mengadakan satu serbuan bersepadu terhadap sindiket pemprosesan sisa elektronik di sebuah premis di Batu Anam, Segamat, di Johor, dengan nilai keseluruhan rampasan mencecah lebih RM190 juta ($57 juta).
Rampasan itu merangkumi lebih 5,920 tan sisa elektronik, 1,031 tan besi, 9.45 tan pelbagai jenis plastik, 23 unit trak angkat susun (‘forklift’), 42 mesin industri dan sebuah lori treler yang digunakan dalam kegiatan haram terbabit.
Serbuan pada 16 Jun itu dilakukan pegawai dan anggota Batalion 5 PGA Simpang Renggam dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Imigresen dan Majlis Perbandaran Segamat dalam pelaksanaan Op Hazard 2.0.
Menurut Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superintenden Salehin Suleiman, pihak berkuasa turut menahan 56 individu dalam operasi berkenaan, termasuk dua warga tempatan yang bertindak sebagai pemandu lori dan kerani premis serta 54 warga asing yang dipercayai bekerja di lokasi tersebut.
“Hasil siasatan awal mendapati sindiket ini telah beroperasi lebih setahun di kawasan perindustrian ini, dan menjadikan premis terbabit sebagai pusat pelupusan haram bahan buangan terjadual.
“Rampasan dan tangkapan ini berjaya melumpuhkan rangkaian sindiket pemprosesan barang lusuh dan sisa elektronik yang aktif di daerah Segamat,” katanya dalam satu kenyataan pada 23 Julai.
Kesemua tangkapan diserahkan kepada polis dan agensi berkaitan untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata operasi itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan PGA dalam memerangi jenayah rentas sempadan dan kegiatan haram yang meresahkan masyarakat, terutamanya di kawasan luar bandar.
Dalam operasi berasingan di bawah Op Taring Nyah 1 yang dijalankan pada 14 April, pasukan Batalion 5 PGA turut berjaya menahan seramai 25 pendatang asing tanpa izin (Pati) di sebuah kebun kelapa sawit di Ladang Tumbuk, Kuala Langat, Selangor.
Serbuan pada 6.30 pagi itu berjaya menahan 16 lelaki dan sembilan wanita dewasa yang dipercayai baru memasuki negara itu melalui jalan laut yang tidak diwartakan dan gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri ketika diperiksa.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg