Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

9 penguat kuasa ditahan lindungi kilang sisa elektronik, akaun RM15j dibeku

Mar 4, 2025 | 11:30 AM
Pihak berkuasa Malaysia menunjukkan sisa buangan elektrik dan elektronik (e-waste) di sebuah kilang di Jalan Sungai Siput-Kuala Kangsar, Perak, yang diserbu pada 15 Februari.
Pihak berkuasa Malaysia menunjukkan sisa buangan elektrik dan elektronik (e-waste) di sebuah kilang di Jalan Sungai Siput-Kuala Kangsar, Perak, yang diserbu pada 15 Februari. - Foto NSTP

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita 61 akaun bank, dengan dana berjumlah RM15 juta ($4.53 juta), dalam siasatan ke atas dakwaan rasuah membabitkan kegiatan memproses dan melupus sisa elektronik.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, berkata setakat ini 26 orang, termasuk pegawai penguat kuasa, serta pemilik dan pengarah syarikat, ditangkap berkaitan kes itu.

“Daripada 26 individu yang ditahan SPRM, sembilan adalah pegawai penguat kuasa yang disyaki melindungi pusat pengumpulan sisa elektronik haram,” katanya pada satu sidang media di Ibu Pejabat SPRM pada 3 Mac, lapor Berita Harian Malaysia.

Datuk Ahmad Khusairi berkata siasatan menunjukkan pegawai penguat kuasa yang ditahan melindungi pusat memproses dan melupus sisa elektronik daripada dikenakan tindakan, membolehkan mereka beroperasi secara haram.

“Pemilik syarikat juga sudah direman dan kami sedang memohon lanjutan reman mereka. Siasatan masih diteruskan,” katanya.

Datuk Ahmad Khusairi berkata pihaknya juga sudah mengenal pasti rangkaian antara kilang memproses sampah sisa elektronik di Segamat, Johor, dan Telok Panglima Garang, Selangor.

Menerusi ‘Op Hazard’, SPRM memulakan siasatan selepas Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam melakukan serbuan bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Dalam ‘Op Hazard’ pada 15 Februari, JAS memeriksa 47 kilang di seluruh Malaysia dan mendapati 30 beroperasi secara haram, tujuh premis barang lusuh, enam premis berlesen di bawah JAS, tiga premis berlesen di bawah pihak berkuasa tempatan dan satu gudang haram.

Menyusuli serbuan itu, pada 27 Februari, SPRM mengesahkan penahanan lima penjawat awam yang disyaki meminta dan menerima rasuah sebagai balasan tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap kilang sisa elektronik di daerah dekat selatan Malaysia.

Premis terbabit disyaki memproses dan melupus bahan mentah tidak dibenarkan, seperti gentian kaca, plastik, besi dan logam.

PDRM percaya ada kilang haram memproses bahan sisa elektronik di Malaysia yang diserbu dalam ‘Op Hazard’ dibiayai oleh warga asing, malah siasatan mendapati ada kilang didaftarkan kepada warga tempatan tetapi diurus oleh warga asing.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg