Beberapa kes penyeludupan dadah termasuk membabitkan seorang juruterbang Malaysia Airlines yang melepasi pemeriksaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), tetapi ditahan di lapangan terbang Indoesia, menunjukkan cabaran tadbir urus dan kelemahan operasi di KLIA, kata pakar.

Ketua Program Kriminologi, Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Azahah Abu Hassan Shaari.
Ketua Program Kriminologi, Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Azahah Abu Hassan Shaari. - Foto UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA

Justeru Ketua Program Kriminologi, Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Azahah Abu Hassan Shaari, melihat keperluan untuk antaranya meningkatkan latihan, kompetensi dan integriti anggota keselamatan di lapangan terbang, serta pemantauan terhadap ancaman orang dalam.

Ini menurut beliau penting bagi mengelak kejadian sama yang mempamerkan kelemahan pemeriksaan keselamatan di pintu masuk dan keluar Malaysia khususnya KLIA.

“Walaupun pemeriksaan terhadap penumpang, bagasi dan kargo dilaksanakan secara berlapis, keberkesanannya boleh dipengaruhi oleh kekangan sumber manusia dan teknologi, peningkatan jumlah trafik penumpang, serta taktik penyeludupan yang semakin canggih.

“Di samping itu, faktor manusia turut menjadi cabaran penting.

“Pegawai keselamatan perlu sentiasa dikemas kini dengan trend dan modus operandi baharu sindiket.

“Sebarang kelekaan, kesilapan prosedur atau ancaman orang dalam boleh meningkatkan risiko berlakunya penyeludupan,” katanya kepada Berita Harian (BH).

Pada 28 Julai, seorang juruterbang Malaysia yang tiba dari KLIA ditahan menyeludup 26 kilogram (kg) dadah di lapangan terbang Indonesia.

Pihak berkuasa Indonesia turut melaporkan ujian air kencing juruterbang berkenaan positif beberapa jenis dadah termasuk metamfetamina, MDMA dan kokain.

Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, juga mengesahkan juruterbang berkenaan telah melepasi semua proses saringan keselamatan di KLIA sebelum berlepas ke Indonesia.

Selang beberapa hari kemudian pada 3 Ogos, seorang lagi warga Malaysia berusia 22 tahun ditahan di lapangan terbang Indonesia kerana disyaki menyeludup hampir satu kilogram dadah syabu dan lebih 1,000 pil ekstasi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan, suspek yang berasal dari Johor itu ditahan sejurus tiba dari Lapangan KLIA Terminal 1 melalui penerbangan Batik Air.

Dalam tempoh sama, tiga wanita warga Malaysia turut ditahan di lapangan terbang Indonesia, selepas bahan disyaki dadah ditemukan tersembunyi dalam bagasi, pakaian dan kasut mereka. Mereka dilaporkan ditahan selepas tiba dengan penerbangan dari Kota Kinabalu, Sabah.

Rentetan kejadian itu sekali gus menimbulkan persoalan bagaimana individu terbabit boleh lolos bersama bahan larangan, di sebalik kecanggihan sistem imbasan bagasi serta pemeriksaan manual pegawai imigresen di lapangan terbang terutama KLIA.

Dr Azahah berkata kedudukan Malaysia yang terletak berhampiran Segi Tiga Emas (Golden Triangle), iaitu salah satu kawasan pengeluaran dadah terbesar di dunia, menjadikan Malaysia sebagai negara transit yang penting bagi sindiket penyeludupan dadah antarabangsa.

“Keadaan ini meningkatkan risiko KLIA dieksploitasi sebagai laluan transit dan pengedaran dadah oleh rangkaian jenayah rentas sempadan.

“Selain itu, status KLIA sebagai hab penerbangan utama di Asia Tenggara, dengan jumlah penumpang dan kargo yang tinggi serta rangkaian penerbangan antarabangsa yang luas, menyediakan peluang kepada sindiket untuk menyembunyikan aktiviti penyeludupan dalam aliran pergerakan yang sah,” katanya.

Jelas Dr Azahah lagi, Malaysia masih berhadapan dengan cabaran untuk memastikan sistem keselamatan penerbangan sentiasa dikemas kini selaras dengan piawaian antarabangsa.

“Sebarang kelemahan dalam proses penyelarasan dasar, pengawasan atau pelaksanaan prosedur keselamatan boleh mewujudkan ruang yang dieksploitasi oleh sindiket penyeludupan.

“Pada masa sama, ancaman keselamatan kini telah berkembang daripada ancaman ketenteraan tradisional kepada ancaman keselamatan bukan tradisional seperti penyeludupan dadah rentas sempadan.

“Perubahan ini memerlukan strategi, teknologi dan kerjasama antara agensi yang lebih dinamik,” katanya.

Dr Azahah berkata secara keseluruhannya, kerentanan penyeludupan dadah di KLIA dipengaruhi oleh gabungan faktor geografi, fungsinya sebagai hab penerbangan antarabangsa, keupayaan sindiket jenayah terancang, serta cabaran dalam memperkukuh sistem keselamatan dan tadbir urus penerbangan.

“Bagi mengurangkan risiko ini, pendekatan yang menyeluruh diperlukan, termasuk pemerkasaan teknologi pengesanan, peningkatan kompetensi dan integriti anggota keselamatan.

“Selain itu penambahbaikan prosedur operasi, serta kerjasama yang lebih erat antara agensi dalam dan luar negara juga penting untuk menangani taktik penyeludupan yang sentiasa berubah,” katanya.

Sementara itu Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Encik Jais Abdul Karim, berkata sekiranya semua prosedur keselamatan dipatuhi tetapi ancaman penyeludupan dadah masih gagal dikesan, ia menunjukkan prosedur sedia ada perlu dinilai semula secara menyeluruh.

“Kes ini bukan sekadar melibatkan seorang juruterbang. Ia menyentuh kredibiliti sistem keselamatan negara, reputasi industri penerbangan Malaysia dan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap integriti pintu masuk negara.

“Integriti bukan diukur apabila sistem berfungsi dalam keadaan biasa, tetapi apabila sistem berjaya menghalang jenayah daripada melepasi setiap lapisan kawalan. Jika terdapat kelemahan, ia mesti diperbetulkan dengan segera, telus dan tanpa kompromi,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil, dilaporkan berkata kerajaan akan menempatkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengendalikan aspek keselamatan penerbangan di lapangan terbang.

Menurutnya ia sebagai langkah segera bagi mengelakkan insiden penyeludupan dadah rentas negara daripada berulang.

Beliau berkata langkah itu merupakan antara penambahbaikan segera yang dipersetujui, menyusuli insiden seorang juruterbang Malaysia ditahan di Indonesia kerana disyaki menyeludup dadah.