Topik diikuti
Pergi ke BHkuSisa binaan didakwa dari S’pura untuk penambakan di Pontian langgar peraturan
SWCorp akan arah sisa dialihkan dari tapak pembangunan di Pontian
Sisa binaan didakwa dari S’pura untuk penambakan di Pontian langgar peraturan
Kerajaan Johor menegaskan penggunaan sisa binaan yang didakwa dibawa dari Singapura untuk menambak tanah di sebuah tapak pembangunan di Pontian, melanggar peraturan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Encik Zaidi Japar, berkata PBT tidak pernah membenarkan sisa binaan digunakan bagi pembangunan baru.
“Johor bukan tempat pembuangan sisa bahan binaan,” katanya selepas meninjau tapak seluas lima ekar di Lot 3700, Mukim Rimba Terjun, pada 19 November.
Beliau turut membangkitkan kebimbangan terhadap keselamatan bangunan sekiranya sisa berkenaan digunakan sebagai bahan tambakan.
“Jadi pada saya, sebarang pembangunan di Malaysia, di Johor, harus ikut garis panduan pihak PBT,” katanya.
Menurut Encik Zaidi, arahan menghentikan kerja akan dikeluarkan susulan lima pelanggaran yang dikesan di tapak tersebut.
Selain penggunaan sisa binaan, pelanggaran itu melibatkan pengurusan lalu lintas, penghadang tapak, papan tanda, serta kerja yang dimulakan sebelum kelulusan Borang B (Notis Memulakan Kerja Tanah) diperoleh.
Beliau berkata borang tersebut baru dikemukakan sehari sebelum tinjauan.
Laporan mengenai kesalahan yang dikesan akan diserahkan kepada kerajaan negeri bagi menentukan tindakan lanjut.
Sementara itu, Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Johor, Encik Zainal Fitri Ahmad, menegaskan sisa binaan mesti dilupuskan di tempat yang dibenarkan.
“Semua sisa binaan wajib dilupuskan di tempat pelupusan yang dibenarkan.
SWCorp tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan, menyebabkan atau membenarkan pelupusan sisa secara tidak sah,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa sisa binaan tidak termasuk dalam senarai bahan yang dikawal oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia.
Bahan itu perlu dihantar ke tempat pelupusan yang dibenarkan, atau kemudahan pengurusan sisa yang mempunyai kebenaran khusus.
Beliau berkata notis mengalihkan sisa akan dikeluarkan dalam minggu berkenaan dan pihak yang bertanggungjawab perlu membersihkan kawasan tersebut.
Menurutnya, 10 lori dikesan memasuki tapak berkenaan dalam satu operasi penguatkuasaan di tapak pelupusan Rimba Terjun, pada 13 November, menyusuli aduan penduduk.
“Semakan awal bersama Kastam mendapati tiga daripada lori tersebut mempunyai rekod muatan sisa binaan,” katanya.
Kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 71(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007.
Menurut SWCorp, sabitan kesalahan boleh membawa denda antara RM10,000 ($3,140) dengan RM100,000, penjara antara enam bulan dengan lima tahun, atau kedua-duanya, di bawah Seksyen 71(8).
Encik Zainal Fitri menjelaskan bahawa tapak itu berbeza daripada 16 tapak yang dikenakan tindakan sebelum ini.
Cara bahan berkenaan dibawa masuk masih diteliti bersama pihak Kastam.
Maklumat lori terbabit turut dikemukakan kepada Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) Singapura untuk semakan.
Dalam jawapan kepada media pada 19 November, NEA berkata pihaknya memandang serius dakwaan tersebut dan sedang berhubung dengan SWCorp bagi mengenal pasti fakta sebenar.
Menurut NEA, sisa pembinaan dan perobohan bercampur yang tidak diasingkan serta mengandungi bahan pencemar, tidak dibenarkan dibawa keluar dari Singapura.
Bagaimanapun, bahan sejenis yang diperoleh semula, seperti besi dan keluli, boleh dihantar ke luar negara untuk dikitar semula atau diguna semula, tertakluk kepada syarat negara penerima.