Sebuah pusat penyelidikan dan pembangunan baharu akan dibangunkan di Singapura bagi menghasilkan makanan ternakan lebih berkhasiat untuk ikan siakap, ikan merah dan udang serta spesies marin tropika lain, bagi membantu ladang tempatan meningkatkan hasil pengeluaran mereka.

Pusat Teknologi Makanan Ternakan dan Bahan Makanan Ternakan (F2TC) ini akan menumpukan perhatian pada usaha menjalankan kajian berkaitan rumusan makanan ternakan, pemodelan khasiat, pengeluaran makanan ternakan peringkat awal serta ujian keberkesanan. 

F2TC yang ditubuhkan oleh Agensi Makanan Singapura (SFA) dan Institut Teknologi Singapura (SIT) itu turut berfungsi sebagai platform sehenti untuk menguji, merintis dan meningkatkan skala inovasi makanan ternakan bagi mengukuhkan keupayaan teknikal Singapura dalam pemakanan akuakultur.

Pusat itu akan beroperasi di premis SIT.

Bidang penyelidikannya merangkumi pembangunan rumusan, penilaian bahan dan penilaian kebolehhadaman makanan ternakan, jelas SFA dan SIT, kepada The Straits Times (ST).

Makanan ternakan akuakultur bermutu tinggi itu termasuk yang menggunakan bahan gantian kepada tepung ikan, seperti protein sel tunggal daripada sisa buangan atau protein berasaskan serangga, serta makanan yang mengandungi bahan tambahan seperti probiotik bagi meningkatkan kesihatan dan kadar kehidupan ikan. 

Mutu makanan ternakan boleh mempengaruhi kos pengeluaran, margin keuntungan serta mutu ternakan ikan. 

Ketika berucap pada persidangan dan pameran perdagangan antarabangsa yang menyentuh tentang industri penternakan hidupan laut, World Aquaculture Singapore 2026, pada 3 Jun, Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran), Dr Janil Puthucheary, berkata pertumbuhan industri akuakultur kian didorong peningkatan daya penghasilan melalui input yang lebih baik. 

“Ini membolehkan kita menghasilkan lebih banyak walaupun dalam keadaan kekangan tanah, sumber dan alam sekitar yang semakin ketat.

“Oleh itu, daya penghasilan tinggi melalui input yang lebih baik menjadi teras dalam membina sektor akuakultur yang kukuh dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan,” katanya.

SFA akan menyediakan kepakaran teknikal, rangkaian industri dan sumber untuk menyokong pembangunan pusat tersebut, serta membantu memastikan projek industri terus berjalan. 

Kepakaran teknikal daripada Pusat Akuakultur Marin SFA dapat menyokong penyelidikan dan pembangunan dalam perumusan serta penyemperitan makanan ternakan, iaitu proses yang digunakan untuk menghasilkan makanan akuakultur bermutu tinggi.

Dalam proses teknologi penghasilan makanan ternakan ini, campuran bahan mentah, misalnya tepung ikan, dimasak di bawah tekanan dan suhu yang tinggi, kemudian ditekan keluar melalui acuan untuk membentuk pelet makanan.

Sementara itu, kekuatan SIT dalam kejuruteraan proses penyemperitan, penyelidikan industri gunaan, pengitaran digital dan pemodelan berasaskan kecerdasan buatan (AI) adalah relevan dalam memajukan inovasi makanan. 

Sebagai contoh, SIT akan menggunakan AI dan teknologi digital bagi mengkaji sejauh mana ikan dapat mengesan, mendekati dan menerima makanan.

Asia menyumbang 90 peratus daripada pengeluaran akuakultur sejagat, menjadikan F2TC berpotensi memainkan peranan penting dalam menangani cabaran struktur, termasuk perubahan iklim dan penyakit.

Pusat itu juga berhasrat menjadi hab serantau bagi penyelidikan dan pembangunan akuakultur, terutamanya dalam pemakanan spesies yang hidup dalam air suam panas.

Selain penubuhan pusat itu, Dr Janil turut mengumumkan tambahan pembiayaan penyelidikan dan pembangunan sebanyak $6.3 juta kepada Program AquaPolis bagi meningkatkan penternakan ikan tilapia laut di Singapura.

Akuakultur merupakan pengusahaan makanan laut di laut atau di darat.

Ini menjadikan jumlah pembiayaan bagi program penyelidikan tersebut, yang memberi tumpuan kepada tiga spesies ikan, hampir mencecah $25 juta.

Peruntukan baharu itu akan meningkatkan pengeluaran tilapia laut melalui pembiakan terpilih, bagi membolehkan kadar pertumbuhan, rintangan penyakit dan daya tahan sekitaran kegaraman lebih baik, tambah Dr Janil.