KUALA LUMPUR : Rosmah Mansor, isteri bekas perdana menteri Malaysia Najib Razak, telah berjanji dengan Mahkamah Tinggi untuk tidak melupuskan atau menjual beg tangan berjenama, barang kemas dan barangan mewah lain yang dipertikai dalam kes saman AS$346 juta ($468 juta) yang difailkan oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terhadapnya.
Perjanjian itu dibuat melalui peguamnya Reza Rahim dan Muhammad Shafee Abdullah, dalam prosiding Zoom berkaitan permohonan untuk mendapatkan perintah Mareva daripada Pesuruhjaya Kehakiman Adlin Abdul Majid pada 14 Jun.
Perintah Mareva ialah perintah sementara yang menghalang defendan daripada melupuskan aset sehingga penentuan kes antara plaintif dengan defendan.
Perintah sementara itu direkodkan mahkamah selepas 1MDB, yang diwakili peguam Lim Chee Wee, bersetuju dengan perjanjian yang dibuat itu.
Kes itu akan dibicarakan lagi pada 4 Julai.
Terdahulu, 1MDB memohon untuk membekukan 11,991 barang kemas, lebih 400 beg tangan mewah dan lebih 300 jam tangan yang dikatakan berada dalam kawalan Rosmah.
Antara barangan dalam senarai itu merupakan rantai berlian kuning (bernilai AS$1.77 juta), gelang berlian merah jambu (bernilai AS$1.2 juta) dan cincin berlian berbentuk rama-rama (AS$1.05 juta).
Turut tersenarai termasuk dua beg tangan berjenama Hermes dan jam tangan Cecil Purnell bernilai RM1 juta.
Kesemua aset yang dipertikai dan dikatakan berada dalam milik dan kawalan Rosmah tersenarai dalam lampiran setebal 612 muka surat.
Pada 9 Mei, 1MDB, SRC dan sembilan yang lain (termasuk empat anak syarikat 1MDB) memfailkan saman terhadap Rosmah yang menuntut sejumlah AS$364 juta milik mereka.
Plaintif mendakwa Rosmah telah menggunakan dana daripada syarikat itu untuk membeli barangan mewah seperti barang kemas, jam tangan dan beg tangan.
Selain 1MDB, SRC dan empat syarikat itu, plaintif lain ialah Affinity Equity International Partners, Alsen Chance Holdings, Blackrock Commodities (Global), Blackstone Asia Real Estate Partners dan Brightstone Jewellery.
Plaintif menamakan Rosmah sebagai defendan pertama dan Cik Shabnam Naraindas Daswani (juga dikenali sebagai Natasha Mirpuri) sebagai defendan kedua.
Mereka mendakwa bahawa Cik Shabnam, yang merupakan pereka fesyen yang berpangkalan di Singapura, telah membeli atau mendapatkan barangan mewah itu bagi pihak Rosmah.
Plaintif telah memohon pengisytiharan mahkamah bahawa mereka mempunyai kepentingan proprietari yang saksama dalam hasil yang boleh dikesan di tangan Rosmah dan perintah membayar plaintif yang pertama hingga keenam sejumlah AS$346 juta. - Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg