Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Skandal dokumen palsu FAM: Anwar ikrar siasatan telus

Namun tegaskan FAM harus dibenarkan bela diri
Nov 22, 2025 | 2:02 PM
Hector Hevel (jersi nombor 13) meraikan gol selepas menjaringkan gol untuk Malaysia semasa ia menewaskan Nepal 2-0 pada Mac 2025. Hevel antara tujuh pemain kelahiran asing yang digantung Fifa.
Hector Hevel (jersi nombor 13) meraikan gol selepas menjaringkan gol untuk Malaysia semasa ia menewaskan Nepal 2-0 pada Mac 2025. Hevel antara tujuh pemain kelahiran asing yang digantung Fifa. - Foto FAM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata siasatan dalam negara berhubung dakwaan pemalsuan dokumen yang menyebabkan tujuh pemain warisan yang mewakili pasukan bola sepak kebangsaan digantung oleh Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) tidak akan disembunyikan, lapor agensi berita negara itu pada 21 November.

Badan induk bola sepak dunia tersebut, pada minggu ini menyatakan ia akan melancarkan siasatan rasmi terhadap operasi dalaman Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan memaklumkan pihak berkuasa di lima negara tentang potensi prosiding jenayah, selepas menolak rayuan persatuan tersebut terhadap penggantungan pemain.

Pemain warisan merujuk kepada pemain yang dilahirkan di luar Malaysia, tetapi diberikan kerakyatan negara itu.

FAM, pada Oktober,  telah menggantung setiausaha agungnya dan berkata ia akan menubuhkan sebuah jawatankuasa bebas untuk menyiasat. 

Menyusuli itu, ia juga mengumumkan rancangan pada minggu ini untuk  membawa kes itu ke Mahkamah Timbang Tara Sukan.

Datuk Anwar berikrar ketelusan dalam siasatan itu, namun menekankan bahawa FAM harus dibenarkan untuk membela diri dan kerajaan tidak akan bertindak berdasarkan hasil siasatan Fifa semata-mata.

“Teruskan dan siasat. Itu adalah arahannya. Tetapi, proses mesti diteruskan,” kata Datuk Anwar yang dipetik oleh agensi berita Bernama.

Pemain terlibat telah digantung 12 bulan pada September selepas Fifa  mendapati dokumen palsu telah digunakan supaya mereka dapat mewakili Malaysia dalam perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam.

Penemuan itu mencetuskan kemarahan di Malaysia, dengan peminat dan beberapa ahli parlimen menuntut tindakan diambil terhadap pegawai di FAM dan agensi kerajaan yang terlibat dalam pengeluaran dokumen kerakyatan.

Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Cik Hannah Yeoh, memberitahu Parlimen pada 20 November bahawa kementerian tidak mempunyai kuasa untuk memecat pegawai FAM kerana sebarang campur tangan kerajaan dalam badan bola sepak kebangsaan berisiko mencetuskan penggantungan Fifa – satu langkah yang akan menjejaskan bukan sahaja pasukan kebangsaan senior, malah keseluruhan bola sepak Malaysia, termasuk skuad remaja dan wanita.

“Saya faham kemarahan awam, tetapi saya perlu mematuhi proses semasa dan penemuan yang dibuat oleh Fifa setakat ini yang melibatkan tujuh pemain,” kata Cik Yeoh.

Bagaimanapun, kementerian telah mengusul supaya tidak memberikan pendanaan ambahan kepada FAM sementara menunggu hasil siasatan jawatankuasa itu, yang akan diketuai oleh bekas hakim terkemuka Malaysia, katanya.

Laporan oleh jawatankuasa rayuan Fifa menunjukkan bagaimana pemain seperti Facundo Garces, Gabriel Arrocha, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel  – semuanya dilahirkan di luar Malaysia – telah diberikan kerakyatan Malaysia dalam proses yang diselia oleh FAM.

Walaupun pemain-pemain tersebut berkata datuk nenek mereka dilahirkan di Malaysia, Fifa telah memperoleh sijil kelahiran yang mempunyai percanggahan ketara dengan yang dikemukakan oleh FAM.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg