KUALA LUMPUR: Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) mengumumkan ia akan melancarkan siasatan rasmi ke atas operasi antarabangsa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyusuli keputusan badan induk bola sepak dunia itu untuk menggantung tujuh pemain warisan dari Malaysia yang didakwa menggunakan dokumen palsu.
Pemain warisan merujuk kepada atlet yang diberikan kewarganegaraan berdasarkan keturunan mereka yang disifatkan dari Malaysia.
Namun, Fifa mendakwa dokumen yang digunakan untuk menyokong kewarganegaraan tujuh pemain itu telah dipalsukan, dan menggantung pemain-pemain tersebut selama 12 bulan.
Ini berikutan perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 dengan Vietnam, di mana Malaysia menang 4-0.
Keputusan Fifa itu mencetus reaksi kuat daripada penyokong bola sepak Malaysia dan penggubal undang-undang yang menggesa kerajaan negara itu mengambil tindakan tegas ke atas FAM, Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Pendaftaran Kebangsaan.
Berikut beberapa mercu tanda penting skandal yang telah menggegarkan bola sepak rantau ini.
Teras skandal ini ialah perbuatan FAM menyerahkan sijil kelahiran yang disifatkan palsu oleh Fifa.
Sijil itu menyatakan bahawa tujuh pemain tersebut, Facundo Garces, Gabriel Arrocha (Palmero), Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal and Hector Hevel, yang kesemuanya dilahirkan di luar Malaysia, mempunyai datuk nenek yang dilahirkan di Malaysia.
Namun siasatan Fifa menunjukkan datuk nenek pemain-pemain ini dilahirkan di Sepanyol, Argentina, Brazil dan Belanda.
Pada September 2025, Fifa mengenakan denda 350,000 franc Swiss (kira-kira $569,000) ke atas FAM.
Kesemua tujuh pemain itu masing-masing didenda 2,000 franc Swiss dan digantung daripada bola sepak dan kegiatan berhubungan selama 12 bulan.
Tujuh pemain tersebut beraksi semasa Malaysia menewaskan Vietnam 4-0 dalam perlawanan Kelayakan Piala Asia pada Jun lalu.
Seorang pemain yang terlibat juga beraksi semasa Malaysia menewaskan Nepal.
Ini bermakna kedua-dua keputusan itu boleh diterbalikkan oleh Fifa menjadi kekalahan 0-3 buat Malaysia, yang boleh menjejas kelayakan Malaysia ke Piala Asia 2026.
Rayuan asal FAM kepada Jawatankuasa Rayuan Fifa ditolak pada November 2025.
FAM telah mengumumkan hasrat untuk membawa kes tersebut ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Fifa telah mengarahkan sekretariat untuk melancarkan siasatan rasmi ke atas operasi dalaman dan budaya pentadbiran di FAM.
Fifa juga akan memaklumkan pihak berkuasa jenayah di Malaysia, Brazil, Argentina, Belanda dan Sepanyol berhubung kes pemalsuan yang didakwa itu.
FAM akur ada ‘kesilapan’ teknikal dalam dokumen yang diserahkan kepada Fifa, tetapi tetap berkata pemain yang terlibat adalah warga Malaysia yang sah.
Ia telah menggantung Setiausaha Agung, Datuk Noor Azman Rahman, dan membentuk jawatankuasa bebas yang diketuai oleh mantan Ketua Hakim, Tun Md Raus Sharif, untuk menyiasat.
Pada 20 November, Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Cik Hannah Yeoh berkata kerajaan akan membekukan semua pendanaan tambahan untuk FAM dan mencadangkan protokol pemeriksaan baru bagi atlet yang berpotensi diberikan kewarganegaraan. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg