Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Skim ‘beli dulu, bayar kemudian’ rekod lonjakan transaksi RM7.1b di M’sia

Mar 11, 2025 | 2:19 PM
Skim transaksi ‘beli sekarang, bayar kemudian’ (BNPL) yang semakin luas digunakan warga Malaysia dikhuatiri boleh meningkatkan kadar hutang yang memberi risiko kewangan kepada pengguna.
Skim transaksi ‘beli sekarang, bayar kemudian’ (BNPL) yang semakin luas digunakan warga Malaysia dikhuatiri boleh meningkatkan kadar hutang yang memberi risiko kewangan kepada pengguna. - Foto hiasan NSTP

KUALA LUMPUR: Kecenderungan masyarakat di Malaysia menggunakan kemudahan skim transaksi ‘beli sekarang, bayar kemudian’ (BNPL) meningkat ketara kepada RM7.1 bilion ($2.13 bilion) pada separuh kedua 2024, berbanding RM4.9 bilion bagi separuh pertama 2024.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata setakat Disember 2024, sebanyak 5.1 juta pengguna BNPL yang aktif, majoritinya golongan berusia 21-45 tahun dengan pendapatan kurang RM5,000 sebulan, manakala 12 syarikat menawarkan perkhidmatan itu pada masa ini.

Beliau berkata kadar penggunaan BNPL di Malaysia yang kian meningkat juga menimbulkan kebimbangan terhadap tahap keberhutangan isi rumah, biarpun peningkatan transaksinya masih terkawal.

“Setakat Disember 2024, pinjaman BNPL berjumlah RM2.8 bilion yang hanya merangkumi 0.2 peratus daripada keseluruhan keberhutangan isi rumah di negara ini.

“Kadar jumlah BNPL yang tertunggak juga terkawal pada RM82.6 juta iaitu 2.9 peratus daripada jumlah keseluruhan nilai kredit BNPL,” katanya pada persidangan Dewan Negara, Parlimen Malaysia, lapor Berita Harian Malaysia.

Datuk Amir Hamzah menjawab soalan Senator Musoddak Ahmad mengenai usaha mengawal aktiviti agensi pemberi kredit seperti perkhidmatan BNPL.

Datuk Amir Hamzah menegaskan Kementerian Kewangan telah membuat bacaan kali pertama Rang Undang-Undang (RUU) Kredit Pengguna di Dewan Rakyat pada 4 Mac 2024, yang menjadi antara usaha kerajaan meningkatkan perlindungan ke atas pengguna kredit di Malaysia.

Beliau menjelaskan RUU Kredit Pengguna itu menyediakan rangka kerja pengawalseliaan yang menyeluruh dan bersepadu ke atas industri pemberi kredit bukan bank.

“Di bawah Akta Kredit Pengguna kelak, penyedia BNPL mesti mematuhi piawaian etika dan standard pelakuan seperti ditetapkan, termasuk ketelusan dalam yuran dan caj, terma kredit secara adil dan memberi peringatan kerap kepada peminjam mengenai pembayaran yang perlu diselesaikan.

“Sekiranya RUU ini diluluskan, ia akan ditadbir oleh satu badan berkuasa berwibawa baru iaitu Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) di bawah Kementerian Kewangan,” ujarnya.

Pada Oktober 2024, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyatakan hutang isi rumah di Malaysia meningkat daripada RM1.53 trilion pada akhir 2023 kepada RM1.57 trilion pada Jun 2024.

Agensi Kaunseling Kredit dan Pengurusan Hutang Malaysia pada 2024 juga mendedahkan bahawa 53,000 golongan muda di bawah 30 tahun dibebani hutang berjumlah RM1.9 bilion, dengan pakar kewangan mengaitkan kemudahan kredit mudah dan skim BNPL sebagai antara faktor yang menyebabkan peningkatan hutang dalam kalangan golongan itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg