Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sorotan peristiwa yang curi perhatian

Dec 25, 2023 | 5:30 AM
JADI TUMPUAN: Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, daripada 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana jutaan ringgi Yayasan Akalbudi diasaskannya, mencetus pelbagai reaksi rakyat.
JADI TUMPUAN: Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, daripada 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana jutaan ringgi Yayasan Akalbudi diasaskannya, mencetus pelbagai reaksi rakyat. - Foto BERNAMA

Tahun 2023 menyaksikan Malaysia di bawah pentadbiran kerajaan baru pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Ke-10 mula bangkit daripada pelbagai onak dan cabaran.

Selain kelembapan ekonomi global yang turut memberi kesan kepada negara, Malaysia dilihat berada di landasan betul untuk kembali mengaum sebagai Harimau Asia.

Pastinya kemantapan politik yang dinikmati selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) antara kunci penting membolehkan Malaysia menumpukan kepada usaha pemulihan ekonomi, penambahbaikan dalam isu kos sara hidup dan peningkatan taraf hidup rakyat.

Ikuti imbauan Detik Malaysia 2023 dan semoga 2024 akan terus membawa negara ke pentas kejayaan dan kemakmuran.

NAHAS ELMINA

Nahas udara membabitkan pesawat jenis Hawker Beechcraft 390 Premier 1 yang terhempas di Elmina, Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos, mengorbankan 10 nyawa, termasuk seorang Ahli Dewan Undangan Negeri merangkap Exco Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Johari Harun.

Tragedi penerbangan dari Langkawi dan sepatutnya mendarat di Subang, Selangor, yang meruntun hati rakyat Malaysia itu masih dalam siasatan pihak berkuasa tempatan dan antarabangsa. Laporan akhir hasil siasatan dijangka dikeluarkan pada Ogos 2024.

Laporan awal mengenai nahas itu telah dikeluarkan kerajaan Malaysia dan boleh diakses oleh orang awam di https://www.mot.gov.my/my bermula 15 September. Penemuan awal mendapati, faktor enjin, keadaan pesawat dan fisiologi atau prestasi juruterbang bukan punca nahas.

ROMBAKAN KABINET

Kabinet Kerajaan Perpaduan pertama yang dibentuk Datuk Anwar pada 2 Disember 2022, berakhir pada 12 Disember 2023.

Melangkaui setahun pentadbiran Kerajaan Madani, beliau mengumumkan rombakan Kabinet, yang menyaksikan pelantikan tambahan lima menteri dan lima timbalan menteri, penampilan semula lima mantan menteri, serta pertambahan dan pemisahan empat kementerian baru.

Rombakan Kabinet yang menurutnya bertujuan membuat penyesuaian dalam memenuhi tuntutan dan keadaan semasa, menyaksikan jumlah keseluruhan anggota meningkat daripada 55 orang kepada 60 orang, namun lebih rendah berbanding 70 orang barisan Kabinet pada pentadbiran kerajaan terdahulu.

Paling menarik perhatian, Datuk Anwar yang juga Menteri Kewangan, turut melantik teknokrat berpengalaman, iaitu Ketua Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, untuk membantunya sebagai Menteri Kewangan II. Jawatan Menteri Kewangan II sering menjadi desakan pembangkang, untuk melihat kelancaran usaha memakmurkan ekonomi Malaysia.

PILIHAN RAYA NEGERI (PRN)

Suhu politik negara dihangatkan dengan gelombang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan pada 12 Ogos.

Gelombang yang dimainkan Perikatan Nasional (PN) bahawa pertukaran kerajaan akan berlaku jika pembangkang memenangi PRN di enam negeri itu, berlalu hampa apabila keputusan PRN menepati ramalan ramai dengan keputusan ‘status quo’.

Tiga negeri kekal ditadbir gabungan politik dalam Kerajaan Perpaduan iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, manakala Terengganu, Kelantan dan Kedah kekal di tangan pembangkang.

PRN ini juga dijadikan modal oleh pembangkang untuk mengukur sokongan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan yang dibentuk selepas PRU15 pada November 2022.

Namun, suka atau tidak, situasi semasa yang harus diakui ialah arus sokongan orang Melayu yang juga penduduk majoriti di Malaysia masih berpihak kepada PN.

Keputusan PRN menyaksikan PN yang baru tiga tahun penubuhan memperluaskan pengaruh dengan memenangi 146 daripada keseluruhan 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan, khususnya di negeri majoriti Melayu.

Kelantan dan Kedah dimenangi PN menerusi majoriti kemenangan yang besar, malah Terengganu buat kali pertama merekodkan sejarah 32-0, sekaligus kosong pembangkang, membuktikan sokongan padu pengundi Melayu kepada PN.

Di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, kerjasama gabungan parti dalam kerajaan iaitu Pakatan Harapan dan Barisan Nasional diihat belum kuat dan tidak berjaya menarik pengundi Melayu. Ia dibuktikan dengan jumlah majoriti yang merosot, selain kekalahan di kerusi DUN di kawasan Melayu.

KES DNAA DATUK SERI DR AHMAD ZAHID HAMIDI

Terma perundangan dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) menjadi popular di Malaysia saat Mahkamah Tinggi membuat keputusan terhadap Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang berdepan 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi, yang diasaskannya.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah pada 4 September melepas tanpa membebaskan Timbalan Perdana Menteri daripada tuduhan itu, selepas Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap Presiden Umno pada peringkat itu.

Keputusan itu bukan saja membangkitkan bermacam reaksi daripada banyak pihak termasuk pimpinan politik, pengamal undang-undang dan majlis peguam, mahupun rakyat pelbagai latar belakang, malah mendapat liputan meluas media antarabangsa.

Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, dituntut memberi penjelasan terbuka susulan keputusan mahkamah itu, malah Datuk Anwar turut beberapa kali terpaksa menegaskan beliau tidak campur tangan dalam keputusan membebaskan Datuk Zahid daripada tuduhan berkenaan.

TRAGEDI ENAM SEKELUARGA MAUT

Kemalangan tragis di Segamat, Johor, yang meragut nyawa enam sekeluarga meruntun hati seluruh rakyat Malaysia dan warga negara jiran, termasuk Singapura. Nahas berlaku pada 1 September apabila kenderaan Perodua Alza dinaiki mangsa bertembung sebuah lori pasir, menyebabkan dua beradik, Encik Abdur Rahman Amir Ruddin, 19 tahun, dan adiknya, Abdullah, 15 tahun, yatim piatu sekelip mata.

Deraian air mata menitis laju di pipi Encik Abdur Rahman, saat beliau mengimamkan solat jenazah ibu bapanya, Allahyarham Amir Ruddin Ismail, 46 tahun, dan Allahyarham Norahimah Noor Muhamad, 45 tahun, serta empat adiknya yang terkorban dalam nahas itu.

Abdullah, yang turut berada dalam kecelakaan itu satu-satunya yang terselamat dan kini semakin pulih daripada kecederaan.

SYED SADDIQ DIHUKUM PENJARA 7 TAHUN, SEBATAN DAN DENDA RM10 JUTA

Ahli Parlimen (AP) Muar merangkap Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, pada 9 November dikenakan hukuman penjara tujuh tahun dengan dua sebatan, serta denda RM10 juta ($2.86 juta) selepas didapati bersalah terhadap kesalahan pecah amanah, salah guna harta dan penggubahan wang haram.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Azhar Abdul Hamid, membuat keputusan itu selepas beliau didapati salah terhadap empat tuduhan berkaitan salah guna dan pecah amanah dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), ketika beliau menjadi Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 2021.

Kes Syed Saddiq yang menyusuli kes DNAA Datuk Ahmad Zahid Hamidi turut menjadi tumpuan, berikutan beliau turut dikenakan hukuman sebat. Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan bekas Menteri Belia dan Sukan itu untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara rayuan difailkan di Mahkamah Rayuan.

Susulan keputusan mahkamah itu, Syed Saddiq meletakkan jawatannya sebagai Presiden Muda serta merta.

SUARA MALAYSIA BERGEMA DI PENTAS DUNIA

Suara Malaysia dalam pelbagai isu ekonomi dan kemaslahatan sejagat bergema di pentas antarabangsa menerusi Datuk Anwar, yang turut dikenali sebagai antara pemimpin Islam paling berpengaruh di dunia.

Keberanian Malaysia dalam memperjuangkan pembebasan penduduk Palestin daripada konflik peperangan dengan Israel antara paling mendapat perhatian, dengan kemuncaknya negara membuat keputusan drastik, mengharamkan kapal dagang Israel berlabuh dan mendarat di pelabuhan negara ini pada 20 Disember.

Sekatan yang dibuat sebagai tindak balas terhadap tindakan Israel yang mengenepikan prinsip asas kemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa menerusi pembantaian dan kekejaman berterusan terhadap warga Palestin itu turut mendapat perhatian dunia, yang menyifatkan Malaysia mengambil langkah berani dengan menjadi negara pertama mengambil keputusan sedemikian.

KERAJAAN MADANI REFORMASI EKONOMI, PERKASA RAKYAT

Dalam pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober 2023, Datuk Anwar meneruskan kesinambungan usaha merencana pelbagai program untuk memulihkan ekonomi negara dan meningkatkan tahap hidup rakyat yang dilaksanakan menerusi Belanjawan 2023.

Usaha mengurangkan kos sara hidup yang membelenggu rakyat digembleng penuh pada 2023 dengan perluasan program Jualan Rahmah; Sumbangan Tunai Rahmah; diskaun pinjaman pendidikan tinggi (PTPTN); peningkatan elaun guru Kelas Asas Fardu Ain; bantuan khas Aidilfitri; Skim Perubatan Madani; Bakul Makanan Rahmah dan deretan bantuan mencakupi rakyat pelbagai lapisan.

Kerajaan Perpaduan juga melayari 2023 dengan kejayaan membentuk kestabilan politik dengan sokongan dua pertiga di Dewan Rakyat. Malah, lima AP pembangkang menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan Datuk Anwar, membuktikan keyakinan Kerajaan Perpaduan memandu Malaysia ke arah kecemerlangan ekonomi dan sosial.

Negara juga berjaya menarik pelbagai pelaburan asing ke dalam negara yang dianggarkan bernilai RM72.3 bilion sehingga November 2023 dan sebahagiannya turut disumbangkan menerusi siri lawatan kerja Perdana Menteri ke luar negara. Pelan Induk Perindustrian Baru 2030 yang dilancarkan pada 1 September juga berpotensi menjadikan Malaysia negara industri berteknologi tinggi dengan transformasi digital.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg