BACHOK (Kelantan): Dua minggu sebelum pengusaha spa, Cik Nor Faziera Muda, 27 tahun, disimbah asid, kawasan depan premis spa miliknya juga menjadi sasaran disimbah cecair dipercayai asid.
Sumber rapat dengan Cik Nor Faziera berkata kejadian itu dimaklumkan mangsa sebelum meminta wanita itu berhati-hati, lapor Berita Harian Malaysia.
Katanya, beliau tidak menyangka rakannya menjadi mangsa sehingga melecur hampir sebelah badan.
“Setahu saya, beliau memang ada beberapa musuh, biasalah orang berniaga, tapi tak rasa sehingga sanggup ke tahap nak bunuh dengan simbah asid.
“Saya berharap polis berjaya tahan suspek dan mengenal pasti punca kejadian secepat mungkin,” katanya ketika ditemui di Beris Kubur Besar, di Bachok pada 19 Mei.
Sumber berkenaan hadir ke kedai spa itu bersama suami mangsa, Encik Muhammad Ikhwan Syahrul Seri Buana, 33 tahun, dan ahli keluarga.
Katanya, Cik Nor Faziera turut memaklumkan menerima tempahan ‘pelik’ dua minggu lalu daripada wanita berpurdah yang mahu beliau sendiri mengurut selain kerap menukar temu janji sehinggalah berlaku kejadian itu.
Sementara itu, rakan spa mangsa, Cik Rosnani Seman, 52 tahun, berkata mangsa seorang yang mesra dan mudah menerima tunjuk ajar.
Beliau, yang juga Pengerusi Persatuan Spa Negeri Kelantan, berkata Cik Nor Faziera adalah ahli jawatankuasa di bawah persatuan dan pagi sebelum kejadian, mangsa sempat bersamanya ke program bersama Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) di Kota Bharu.
“Saya terkejut bila dapat panggilan daripada Faziera memaklumkan beliau kena simbah asid, saya terus gerak ke spanya dan sempat bersama beliau sebelum dibawa ke hospital,” katanya.
Pada 17 Mei, Cik Nor Faziera diserang tiga pelanggan berpurdah yang kononnya mahu mendapatkan khidmat urut di kedai spa dan salun miliknya di Beris Kubur Besar, Bachok.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg