Topik diikuti
Pergi ke BHkuSPR uji sistem baru rekod kehadiran pengundi di PRN Negeri Sembilan
SPR uji sistem baru rekod kehadiran pengundi di PRN Negeri Sembilan
SPR uji sistem baru rekod kehadiran pengundi di PRN Negeri Sembilan
Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan menjadi medan ujian bagi projek rintis Sistem Pengecaman Aksara Optik Kehadiran Pengundi (OCR-VA), percubaan awal Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ke arah perubahan sistem kehadiran pengundi secara digital.
Sistem OCR-VA dibangunkan khusus bagi merekod dan menandakan kehadiran pengundi di saluran mengundi melalui pengimbasan maklumat pada kad pengenalan secara automatik.
Sebagai permulaan, SPR menjalankan percubaan menggunakan alat berkenaan di Saluran 1 hingga 7 di pusat pengundian Sekolah Menengah Agama (SMA) Dato Klana Petra Maamor di Ampangan, Seremban, Negeri Sembilan.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, yang turun padang meninjau operasi rintis sistem OCR-VA di sekolah berkenaan, berkata penggunaan sistem itu bertujuan menambah baik pengurusan proses pilihan raya.
Beliau berkata pendaftaran kehadiran mengundi secara digital menerusi sistem itu telah dibuat oleh banyak negara.
“Kita gunakan Saluran 1 hingga 7 di satu pusat mengundi ini saja untuk projek rintis penggunaan sistem OCR-VA ini.
“Ia merupakan permulaan ke arah penggunaan digital seluruhnya untuk merekodkan kehadiran pengundi,” katanya dalam sidang media selepas melawat pusat pengundian di SMA Dato Klana Petra Maamor, pada 1 Ogos.
Datuk Ramlan juga menolak kebimbangan awam terutama calon dan parti politik yang bertanding dalam PRN Negeri Sembilan, apabila projek rintis itu dilaksanakan.
“Ini hanya satu kaedah operasi saja, kita nak ambil kesempatan dalam PRN ini untuk melihat penggunaan kad pengenalan dan sistem OCR-VA ini untuk merekod kehadiran pengundi, berbanding secara manual sebelum ini.
“Ia tidak melibatkan sebarang proses pilihan raya lain. Ia cuma projek rintis dan kita rasa ini adalah satu permulaan yang baik untuk kita mulakan ke arah pendigitalan yang lebih baik pada masa akan datang,” katanya.
Terdahulu, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, ketika ditemui media selepas membuang undi bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat, berkata SPR tidak sepatutnya membuat sebarang ‘percubaan’ atau perubahan prosedur pada hari pengundian PRN Negeri Sembilan, tanpa mengadakan perbincangan terlebih dahulu bersama calon-calon yang bertanding.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan itu berkata pelaksanaan langkah baharu secara mengejut dikhuatiri mengganggu kelancaran proses pengundian dan mencetuskan beban kepada pengundi.
Menurutnya, beliau bimbang sekiranya prosedur yang tidak diselaraskan lebih awal itu menyebabkan saluran pengundian bergerak perlahan.
Sebelum ini, seorang calon PH membantah pelaksanaan OCR-VA pada saat akhir di pusat mengundi.