Topik diikuti
Pergi ke BHkuMasa depan Negeri Sembilan bakal ditentukan, PH atau BN?
Masa depan Negeri Sembilan bakal ditentukan, PH atau BN?
Pengamat ramal gelombang biru BN-PN kembali rampas kuasa
Masa depan Negeri Sembilan bakal ditentukan, PH atau BN?
Merah, kuning dan hitam melambangkan bendera Negeri Sembilan.
Namun sejak dua minggu lalu, perhatian warga Negeri Sembilan lebih tertumpu kepada dua warna lain.
Merah warna rasmi Pakatan Harapan (PH) pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Manakala biru pula mewakili blok Barisan Nasional (BN) diketuai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dan rakan kerjasama barunya, Perikatan Nasional (PN).
Ini adalah dua gabungan utama yang berentap bagi merebut kuasa politik dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
Satu lagi parti merah yang turut bersaing ialah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), yang buat julung-julung kali mencuba nasib bertanding menggunakan logo sendiri dan secara solo pada PRN Negeri Sembilan, selepas diketepikan PN yang kini didominasi kepimpinan Parti Islam SeMalaysia (PAS).
Apabila matahari terbenam pada 1 Ogos, Negeri Sembilan akan mengetahui gabungan manakah yang akan memenangi 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan dan membentuk kerajaan negeri.
Selepas dua minggu tempoh berkempen, penganalisis meramalkan gelombang biru (BN) akan kembali merampas kuasa di Negeri Sembilan, selepas Umno/BN hilang kuasa yang dipegang selama lebih 50 tahun sebagai kerajaan negeri, berikutan tsunami politik pada 2018.
Namun, penganalisis juga tidak menolak kemungkinan kemenangan seimbang oleh kededua gabungan utama itu.
Malah tidak memandang remeh kemampuan PH mengekalkan kuasa buat penggal ketiga berturut-turut, bergantung kepada keberkesanan naratif kempen pada saat-saat akhir untuk mempengaruhi undi.
Penganalisis politik, Dr Syaza Farhana Mohamad Shukri, berkata penyatuan undi Melayu terutama di kawasan luar bandar dan separa bandar menerusi persefahaman antara BN dengan PN dijangka menjadi faktor utama yang mampu mengubah landskap politik di Negeri Sembilan.
Ramalan Dr Syaza selari dengan dapatan BH yang melakukan tinjauan dan bertemu pengundi di beberapa kawasan di Negeri Sembilan melibatkan kerusi DUN di bawah Parlimen Port Dickson, Seremban, Jelebu, Jempol, Rasah, Rembau, Tampin dan Kuala Pilah.
Rata-rata pengundi pelbagai lapisan usia dan latar belakang yang ditemui BH terbuka menyatakan mereka mahu melihat pertukaran kerajaan.
Ini selepas mereka mendakwa pentadbiran PH gagal memenuhi sebahagian janji pilihan rayanya serta menangani beberapa isu yang menjadi kebimbangan rakyat, termasuk krisis berkaitan Adat Perpatih dan institusi diraja Negeri Sembilan.
Pandangan itu juga selari dengan analisis Dr Syaza, yang berkata persepsi dalam kalangan sebahagian pengundi bahawa pentadbiran PH di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, mempunyai beberapa kelemahan yang turut mempengaruhi corak pengundian.
Malah beberapa badan yang menjalankan analisis pilihan raya turut meramalkan peluang BN-PN lebih cerah untuk menang bergaya di PRN Negeri Sembilan.
“Saya rasa BN-PN cukup kuat untuk tumbangkan PH. Mungkin vote transferability (pemindahan undi antara BN-PN) itu tidak sempurna. Mungkin pengundi BN tak selesa undi PN dan pengundi PN mungkin memilih Bersatu, tapi saya rasa ini kes terpencil.
“Jadi saya menjangkakan BN-PN akan menang dengan merampas semula lebih banyak kerusi. Ini kerana faktor pengundi Melayu, manakala sokongan pengundi bukan Melayu pula mungkin tidak mencukupi untuk memberi kemenangan kepada PH,” katanya kepada Berita Harian (BH).
Mengikut data rasmi kerajaan Negeri Sembilan, negeri yang terletak di selatan Kuala Lumpur itu mempunyai jumlah penduduk kira-kira 1.2 juta orang, dengan Melayu merupakan kaum majoriti, yang mewakili sekitar 61.5 peratus daripada keseluruhan penduduk.
Sementara penduduk Cina pula mewakili kira-kira 22.9 peratus, masyarakat India 15.1 peratus, dan kaum-kaum lain mewakili 0.5 peratus.
Mengulas kerusi tumpuan, Dr Syaza yang juga Pensyarah Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), berpandangan PH dijangka terus mempertahankan beberapa kerusi bandar seperti Lobak, Bukit Kepayang, Rahang dan Mambau.
Sementara BN pula dijangka kekal menguasai kubu tradisinya.
Ia termasuk kerusi DUN Rantau yang ditandingi Menteri Luar merangkap Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan; Pengerusi Umno Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, di kerusi DUN Pertang dan Datuk Saiful Yazan Sulaiman, di kerusi Johol.
Malah, kerusi DUN Linggi yang ditandingi buat kali pertama Datuk Aminuddin, selepas berpindah dari DUN Sikamat, turut diramal tewas.
Menurutnya, kira-kira 10 hingga 12 kerusi campuran antaranya Ampangan, Klawang, Sikamat dan Kuala Pilah dijangka menjadi medan penentu kepada pembentukan kerajaan negeri.
“Bagi PN pula, antara kerusi yang berpotensi dimenangi ialah Bagan Pinang dan Paroi. Namun, peluang mereka tidak mudah kerana Bersatu turut bertanding di beberapa kerusi yang sama,” katanya.
Dr Syaza juga berpandangan kawasan yang memiliki komposisi bercampur bakal mencabar calon PH sebagai contoh kemampuan Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP), Encik Anthony Loke, mengekalkan sokongan dalam kalangan pengundi Melayu di kawasan kampung.
Pada PRN Negeri Sembilan ini, BN dan PN membentuk persefahaman buat julung kalinya menerusi pembahagian kerusi.
BN hanya bertanding di 25 daripada 36 kerusi, ,sementara baki 11 kerusi diperuntukkan kepada PN, bagi mengelak pertembungan dan pecah undi yang boleh menghasilkan kemenangan kepada gabungan itu.
PH pula bertanding di semua 36 kerusi DUN, sementara Bersatu meletakkan calon di 24 kerusi.
Langkah Bersatu itu turut menyaksikan pertembungan sesama parti pembangkang.
Pada PRN 2023, BN yang bertanding sebagai sekutu PH selaras gabungan mereka dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, memenangi 14 daripada 17 kerusi ditandingi.
PH pula mendominasi dengan menang di 17 kerusi DUN, sekali gus menyaksikan pembentukan Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan di bawah Datuk Aminuddin.
Dr Syaza juga berpandangan isu membabitkan krisis Raja dan Adat di Negeri Sembilan pula tidak semestinya memberi kelebihan kepada BN.
Sebaliknya beliau berkata dalam keadaan tertentu boleh menguntungkan PH kerana sebahagian pengundi melihat kemelut politik di negeri itu berpunca daripada Umno/BN yang menarik sokongan terhadap kepimpinan Datuk Aminuddin.
Bagaimanapun, beliau berpendapat isu itu bukan faktor utama yang akan menentukan corak pengundian.
Sementara itu, Pensyarah Kanan, Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Encik Muhammad Ariff Asyrul Adnan, berpandangan BN-PN mempunyai kelebihan dan mendahului apabila berjaya menguasai naratif Melayu/Islam sepanjang kempen.
Namun, katanya PH masih belum boleh diketepikan kerana keputusan pilihan raya turut bergantung kepada keberkesanan kempen saat akhir serta strategi mobilisasi pengundi yang dilaksanakan gabungan itu.
Mengulas sama ada pendedahan laporan Suruhanjaya Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji yang mengalami kerugian RM10 bilion ketika kempen PRN hangat berlangsung, beliau berpandangan ia tidak memberi impak yang boleh menjejas pendirian pengundi.
“Bagi saya PH masih bergelut untuk mengalihkan tumpuan pengundi kepada isu-isu negeri kerana kempen gabungan itu lebih banyak dipengaruhi naratif politik di peringkat nasional, sekali gus menyukarkan mesej berkenaan diterjemahkan secara berkesan di peringkat akar umbi,” katanya kepada BH.
Mengenai kesan krisis Adat dan Raja di Negeri Sembilan dalam mempengaruhi pengundi, beliau tidak menolak ia berkesan di kawasan majoriti undi Melayu dan kawasan luar bandar terutama yang masih kuat berpegang kepada Adat Perpatih.
“Tetapi bagi pengundi bukan Melayu, ia mungkin tak nampak sebagai satu isu yang kuat. Cuma PH mungkin terkesan dengan naratif lawan yang memanipulasi PH sebagai pengkhianat, melawan Raja, tetapi dalam masa sama mereka masih mempertahankan institusi Raja.
“Jadi signifikannya kita fahamlah pengundi Melayu ini kebanyakannya cenderung kepada BN,” katanya.
Encik Muhammad Ariff juga bersetuju bahawa peratusan keluar mengundi di PRN Negeri Sembilan akan lebih baik iaitu melebihi 70 peratus, berbanding 68 peratus pada PRN Johor.
Ini menurutnya mengambil kira kedudukan Negeri Sembilan yang lebih hampir dengan Lembah Klang dan memudahkan perantau pulang, selain tarikh pengundian yang agak signifikan.
Pensyarah di Jabatan Sains Politik dan Pengajian Madani UIAM, Profesor Dr Zainal Abidin Sanusi, yang turut meramalkan kemenangan akan berpihak kepada BN-PN, percaya pengundi di Negeri Sembilan tidak akan terperangkap dengan naratif perkauman yang dimainkan sesetengah pihak untuk meraih sokongan.
Beliau berkata pilihan sebenar yang perlu dibuat pengundi bukanlah antara membela atau mengkhianati sesuatu kaum, sebaliknya menilai calon dan parti berdasarkan keupayaan mereka mentadbir serta membawa manfaat kepada rakyat selepas pilihan raya.
Menurutnya, pengundi perlu menilai parti dan calon berdasarkan tiga aspek utama, iaitu keupayaan menyampaikan pembangunan, peluang pekerjaan dan perkhidmatan kepada rakyat; konsisten menolak politik perkauman tanpa mengira pihak; serta kemampuan menyatukan masyarakat majmuk selepas kempen berakhir.
Katanya parti atau calon yang hanya bergantung kepada sentimen perkauman gagal memenuhi ketiga-tiga kriteria itu, kerana mereka lebih bergantung kepada rasa takut dan ancaman untuk meraih sokongan, berbanding menawarkan penyelesaian kepada isu yang benar-benar memberi kesan kepada kehidupan rakyat.
“Sentimen tidak pernah membina jalan, sekolah atau mewujudkan pekerjaan.
“Masyarakat yang matang bukan menunggu pemimpin berhenti memainkan isu perkauman, tetapi berhenti memberi ganjaran kepada mereka yang terus menggunakan pendekatan itu,” katanya.
Masa depan Negeri Sembilan akan ditentukan pada hari pengundian hari ini (1 Ogos), apabila seramai 859,750 daripada 889,940 pengundi berdaftar layak memilih.
Seramai 103 calon dari lapan parti politik termasuk calon Bebas, bertanding merebut 36 kerusi DUN pada hari PRN Negeri Sembilan kali ini.
Sebelum ini seramai 14,995 anggota keselamatan merangkumi anggota tentera dan polis menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian awal 28 Julai lalu. Sejumlah 13,263 lagi memilih mengundi secara pos.
Keputusan PRN Negeri Sembilan disifatkan penting dalam mencorakkan hala tuju dan landskap politik nasional termasuk menguji kepimpinan Datuk Anwar, khususnya menjelang Pilihan Raya Umum akan datang.
“
“Saya rasa BN-PN cukup kuat untuk tumbangkan PH. Mungkin vote transferability (pemindahan undi antara BN-PN) itu tidak sempurna. Mungkin pengundi BN tak selesa undi PN dan pengundi PN mungkin memilih Bersatu, tapi saya rasa ini kes terpencil.”“
“Bagi saya PH masih bergelut untuk mengalihkan tumpuan pengundi kepada isu-isu negeri kerana kempen gabungan itu lebih banyak dipengaruhi naratif politik di peringkat nasional, sekali gus menyukarkan mesej berkenaan diterjemahkan secara berkesan di peringkat akar umbi.”