Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SPRM gempur sindiket seludup besi buruk di 5 negeri

Jul 15, 2025 | 1:52 PM
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, SPRM, besi buruk
Bahagian Operasi Khas, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi pasukan petugas pelbagai agensi menyerbu 19 lokasi di sekitar Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Johor dan Kedah, berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan besi buruk di Malaysia.  - Foto BERNAMA

GEORGETOWN (Pulau Pinang): Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggempur sindiket penyeludupan besi buruk di lima negeri yang dipercayai membayar rasuah kepada penguat kuasa sehingga menyebabkan kerajaan kerugian hasil cukai eksport lebih RM950 juta ($286.2 juta).

Serbuan dijalankan Bahagian Operasi Khas SPRM menerusi pasukan petugas pelbagai agensi membabitkan Jabatan Kastam, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Bank Negara di 19 lokasi sekitar Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Johor serta Kedah.

Operasi khas ‘Op Metal’ yang turut disertai anggota skuad taktikal antirasuah (Acts) SPRM itu menyerbu enam lokasi di Pulau Pinang pada 14 Julai, termasuk rumah, pejabat serta tempat penyimpanan dan pemprosesan besi buruk yang dipercayai terbabit kegiatan itu.

Dalam serbuan pertama di kawasan perumahan mewah di Batu Maung, Georgetown, Pulau Pinang, pada 6 pagi 14 Julai, pasukan operasi menyerbu sebuah banglo tiga tingkat dipercayai kediaman seorang lelaki warga asing yang juga pemilik syarikat besi buruk.

Pasukan dimaklumkan lelaki itu berada di luar negara atas urusan perniagaan sejak dua hari lepas dan mendapati hanya isteri, anak dan seorang wanita warga emas dipercayai ibunya berada di rumah, lapor Free Malaysia Today.

Pasukan SPRM menggeledah bagi mencari bahan bukti dan dokumen berkaitan kegiatan penyeludupan, manakala anggota Acts memantau di dalam dan luar kediaman bagi memastikan operasi berjalan lancar.

Seterusnya, SPRM menyerbu tempat penyimpanan dan pemprosesan besi buruk di Jalan Bukit Minyak, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, pada 9 pagi, iaitu sebaik sahaja premis itu dibuka.

Anggota Acts membuat pemeriksaan di keseluruhan premis dikelilingi zink dan menempatkan besi buruk dalam pelbagai bentuk, saiz dan jenis dipercayai untuk diproses sebelum dieksport ke luar negara.

Hampir 30 pekerja, termasuk yang bertugas di pejabat, dikumpulkan sebelum pasukan operasi menjalankan pemeriksaan lanjut.

Sekitar 15 minit kemudian, seorang lelaki mengaku pengurus premis itu tiba dan memberi jaminan akan memberi kerjasama sepenuhnya.

Beberapa dokumen difahamkan turut dirampas.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg