JOHOR BAHRU: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor berjaya melumpuhkan 17 sindiket pengedaran dadah dengan menahan 45 anggota sindiket sejak Januari hingga April 2025.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar, berkata sepanjang tempoh itu, rampasan dadah yang dilakukan mencecah RM75.85 juta ($22.8 juta), manakala aset pelbagai berkaitan kegiatan jenayah turut disita dengan nilai keseluruhan RM2.07 juta, lapor Berita Harian Malaysia.
“Sepanjang Januari hingga April, JSJN turut mencatat prestasi cemerlang dengan merekodkan 8,598 tangkapan berkaitan pelbagai kesalahan dadah.
“Bagi tempoh sama, sejumlah 878.86 kilogram dan 3,643.77 liter pelbagai jenis dadah telah berjaya dirampas dalam beberapa siri serbuan dan operasi di seluruh negeri,” katanya semasa berucap pada Perhimpunan Bulanan Peringkat Kontinjen Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada 20 Mei.
Datuk Kumar berkata Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Johor turut mencatat pencapaian membanggakan menerusi beberapa operasi besar yang dijalankan sejak awal 2025.
Beliau menjelaskan bahawa elemen JKDNKA yang terdiri daripada Pasukan Polis Marin Wilayah 2; Pasukan Simpanan Persekutuan Unit 2; serta Pasukan Gerakan Am Batalion 5 dan 6 berjaya menyelesaikan lapan kes berkaitan sisa elektronik (e-waste) dengan nilai rampasan keseluruhan hampir RM274 juta.
“Pasukan tersebut turut berjaya menumpaskan 25 kegiatan penyeludupan membabitkan minuman keras dan rokok, dengan nilai rampasan mencecah RM3.98 juta, selain dua kes penyelewengan minyak bersubsidi melibatkan rampasan berjumlah RM172,527,” katanya.
Beliau turut menekankan ancaman jenayah siber yang semakin meningkat, khususnya penipuan dalam talian yang kini turut menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk memperdaya mangsa.
“Dalam tempoh Januari hingga April lalu sahaja, jumlah kerugian yang direkodkan akibat penipuan dalam talian mencecah RM80 juta. Ini menunjukkan betapa seriusnya ancaman ini.
“Saya menyeru agar masyarakat sentiasa berwaspada dan menyemak kesahihan maklumat sebelum berkongsi data peribadi atau membuat sebarang transaksi dalam urusan harian.
“Jadilah pengguna yang bijak dan tidak mudah terpedaya,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg