Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SPRM mahu dakwa menantu Muhyiddin, tapi sukar bawa pulang ke M’sia

Oct 29, 2025 | 4:27 PM
Menantu, dakwa, Muhyiddin
Gambar yang diperoleh daripada sumber New Straits Times menunjukkan menantu mantan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga ahli perniagaan dalam buruan, Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan, berada di negara Timur Tengah dan Thailand. - SFoto NST

KUALA LUMPUR: Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, mengesahkan pihaknya sudah selesai menyiasat kes pecah amanah membabitkan ahli perniagaan dalam buruan, Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan, 49 tahun.

Tan Sri Azam berkata ketika ini tugas SPRM adalah memastikan tuduhan terhadap menantu mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan peguamnya, Encik Mansoor Saat, berlaku di Malaysia.

Namun, beliau berkata siasatan SPRM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika ini berdepan kesukaran untuk membawa pulang kedua-dua suspek berikutan beberapa faktor, termasuklah mengenal pasti aset di luar negara.

“Sudah tentu sukar (membawa mereka pulang) dan sudah sekian lama kita mengesan mereka,” katanya selepas Mesyuarat Principals Asean Parties Against Corruption (Asean-PAC) Ke-2, di Kuala Lumpur, pada 29 Oktober, lapor portal berita, Buletin TV3.

The Star pula melapokan Tan Sri Azam sebagai berkata SPRM percaya bahawa Datuk Muhammad Adlan menggunakan pasport bukan Malaysia untuk melakukan perjalanan ke luar negara selepas pasport Malaysianya dibatalkan.

Sebelum ini media Malaysia melaporkan Datuk Muhammad Adlan yang telah melarikan diri lebih dua tahun lalu, dipercayai kini menjalani kehidupan mewah di sebuah negara Asia Barat.

Beliau dikehendaki SPRM bagi menghadapi tuduhan pecah amanah.

Media melaporkan beliau dilihat bersama beberapa kenamaan dari Asia Barat. Dalam salah satu gambar tersebut, kelihatan potret seorang pemimpin negara berkenaan.

Datuk Muhammad Adlan dikatakan kerap keluar masuk negara berkenaan untuk perjalanan ke luar negara, termasuk ke Thailand bagi bermain golf dan mengunjungi lapang sasar menembak.

Sebelum ini, SPRM memaklumkan bahawa Datuk Muhammad Adlan dipercayai tinggal di sebuah negara yang tidak mempunyai perjanjian ekstradisi dengan Malaysia.

Beliau meninggalkan Malaysia menuju ke New Zealand pada 17 Mei 2023, tidak lama selepas bapa mentuanya didakwa atas beberapa tuduhan rasuah.

Peguamnya, Encik Mansoor, 70 tahun, turut melarikan diri. Beliau meninggalkan negara ini menuju ke Jakarta, Indonesia, empat hari selepas Muhammad Adlan dan sejak itu tidak kembali.

Encik Mansoor juga berdepan tuduhan pecah amanah yang berkaitan dengan projek National Enforcement and Registration (Biometrics) System (NERS), yang dibiayai melalui kemudahan sukuk bernilai RM595 juta ($183 juta).

Projek NERS bertujuan meningkatkan keselamatan negara melalui pengumpulan data biometrik.

Namun, siasatan mendapati hampir RM50 juta hasil kutipan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang sepatutnya digunakan untuk pembayaran balik sukuk telah diselewengkan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg