PUTRAJAYA: Ahli perniagaan Malaysia yang menjadi buruan, Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan, yang telah melarikan diri lebih dua tahun lalu, dipercayai kini menjalani kehidupan mewah di sebuah negara Asia Barat.
Datuk Adlan, yang juga menantu kepada mantan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, dikehendaki Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menghadapi tuduhan pecah amanah.
Beberapa gambar yang dikongsi kepada New Straits Times (NST) menunjukkan Datuk Adlan bersama beberapa orang kenamaan dari Asia Barat.
Sumber memberitahu NST bahawa Datuk Adlan kerap keluar masuk negara berkenaan untuk perjalanan ke luar negara, termasuk ke Thailand bagi bermain golf dan mengunjungi lapang sasar menembak.
Sebelum ini, SPRM memaklumkan bahawa Datuk Adlan dipercayai tinggal di sebuah negara yang tidak mempunyai perjanjian ekstradisi dengan Malaysia, lapor Berita Harian Malaysia.
Datuk Adlan, 49 tahun, meninggalkan negara ini menuju ke New Zealand pada 17 Mei 2023, tidak lama selepas bapa mentuanya didakwa atas beberapa tuduhan rasuah.
Peguamnya, Encik Mansoor Saat, 70 tahun, turut melarikan diri. Beliau meninggalkan Malaysia menuju ke Jakarta empat hari selepas Datuk Adlan dan sejak itu tidak kembali.
Encik Mansoor juga berdepan tuduhan pecah amanah yang berkaitan dengan projek National Enforcement and Registration (Biometrics) System (NERS), yang dibiayai melalui kemudahan sukuk bernilai RM595 juta.
Projek NERS bertujuan meningkatkan keselamatan negara melalui pengumpulan data biometrik.
Namun, siasatan mendapati hampir RM50 juta ($15.3 juta) hasil kutipan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) – yang sepatutnya digunakan untuk pembayaran balik sukuk – telah diselewengkan.
Siasatan SPRM mengenal pasti Datuk Adlan dan Encik Mansoor sebagai individu yang dipercayai terbabit dalam kes itu, yang diklasifikasikan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.
Kedua-duanya sebelum ini mengeluarkan kenyataan melalui peguam masing-masing menafikan bahawa mereka melarikan diri bagi mengelak pendakwaan.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, berkata siasatan terhadap kes itu bermula pada 13 Mac 2023 selepas laporan rasmi diterima.
“Antara Mei hingga Ogos 2023, pegawai penyiasat menghubungi Adlan berkali-kali melalui panggilan telefon, WhatsApp dan surat rasmi bagi memintanya hadir ke ibu pejabat SPRM,” katanya.
Beliau berkata Datuk Adlan, ketika kali pertama dihubungi pada Mei 2023, mengakui siasatan itu dan memaklumkan SPRM bahawa beliau berada di Auckland, New Zealand, atas urusan peribadi.
“Beliau memberi jaminan akan pulang ke Malaysia dan turut menghantar mesej menyatakan tarikh penerbangan – pertengahan Jun 2023, kemudian ditunda ke Julai 2023.
“Namun, beliau gagal hadir walaupun telah diberikan peringatan, arahan bertulis dan saman rasmi kepada ahli keluarga serta peguamnya.
“Kegagalan beliau memberi kerjasama akhirnya memaksa SPRM mengaktifkan mekanisme perundangan dan antarabangsa melalui saluran Interpol dan Imigresen untuk mengesannya,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg