Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SPRM sita dokumen pelaburan HRD Corp, susulan aduan salah guna dana

Jul 10, 2024 | 11:07 AM
Beberapa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tiba di Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) bagi mendapatkan dokumen susulan isu membabitkan Pembangunan Sumber Manusia Bhd (HRD Corp).
Beberapa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tiba di Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) bagi mendapatkan dokumen susulan isu membabitkan Pembangunan Sumber Manusia Bhd (HRD Corp). - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah mengambil dokumen daripada pejabat Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) dan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) pada 9 Julai.

Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim, berkata kehadiran penyiasat di dua tempat terbabit adalah bagi mendapatkan dokumen berkaitan untuk tujuan siasatan.

“SPRM telah hadir di Kesuma dan HRD Corp untuk mendapatkan dokumen untuk siasatan pada tengah hari 9 Julai.

“Fokus siasatan tertumpu kepada isu rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan di bawah Akta SPRM 2009,” katanya dalam satu kenyataan pada 9 Julai, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Pada 4 Julai, Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi, dalam laporannya mengesyorkan Kesuma merujuk pengurusan HRD Corp kepada agensi penguatkuasaan berkaitan berikutan kegagalan syarikat kerajaan itu dalam audit yang dibuat.

Datuk Wan Suraya berkata ada tindakan serta keputusan yang diambil pengurusan HRD Corp tidak mematuhi prosedur dan tidak menjaga kepentingan dalam mencapai fungsi penubuhan syarikat.

Maka itu, Kesuma perlu mengambil tindakan sewajarnya terhadap pengurusan HRD Corp bagi ketidakteraturan yang dikenal pasti.

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada 4 Julai turut mendedahkan sejumlah RM3.77 bilion ($1.08 bilion) hasil kutipan levi daripada majikan, digunakan HRD Corp untuk melabur dalam pelbagai pelaburan yang bukan matlamat penubuhan agensi itu.

Berikutan itu, Menteri Sumber Manusia, Encik Steven Sim, mengarahkan Ketua Setiausaha Kesuma, Datuk Seri Khairul Dzaimee, dan Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Shahul Dawood, membuat laporan kepada SPRM, selaras syor Audit Negara dan PAC.

Datuk Hishamuddin berkata setakat ini belum ada saksi yang dirakam keterangan namun tidak menolak kemungkinan akan memanggil saksi selepas semakan dokumen dilakukan.

“SPRM akan meneliti sejauh mana kesahihan pelaburan yang dibuat dan adakah ia dibenarkan?

“SPRM akan meneliti terlebih dahulu dokumen yang diperolehi sebelum tindakan lanjut termasuk rekod keterangan saksi berkaitan dibuat,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg