PUTRAJAYA: Seorang warga Singapura yang disyaki merasuah 11 pegawai penguat kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Pelabuhan Klang, Selangor, hingga menyebabkan ketirisan duti kastam dianggarkan berjumlah RM3.5 bilion ($1 bilion) kepada Malaysia akhirnya berjaya diberkas.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak menahan reman suspek yang disyaki membayar rasuah kepada pegawai penguat kuasa sebagai balasan membantu melepaskan barang-barang yang diimport oleh syarikat-syarikat miliknya, untuk tidak dikenakan bayaran cukai.
Sumber berkata suspek yang juga seorang lelaki berusia lingkungan 40-an tahun berjaya ditahan kira-kira 5 petang pada 24 Jun, ketika diminta hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Putrajaya.
Susulan penahanan itu suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pada 25 Jun, untuk mendapat perintah reman selama enam hari sehingga 30 Jun depan. Perintah reman dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin.
“Suspek disyaki melakukan perbuatan rasuah itu antara 2022 hingga 2024. Siasatan awal mendapati wang suapan itu diberikan secara tunai kepada kesemua pegawai penguat kuasa terlibat. Sehingga kini dipercayai seramai 11 pegawai penguat kuasa yang terlibat,” kata sumber itu, lapor Harian Metro.
Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim, mengesahkan penahanan itu dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 16(a) dan 17(a) Akta SPRM 2009.
SPRM sebelum ini mengesan lebih 100 syarikat disyaki terbabit sindiket ‘kontena terbang’ yang merasuah pegawai penguat kuasa bagi melicinkan proses penyeludupan tanpa melalui pengisytiharan serta pemeriksaan di pintu masuk negara.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata syarikat berkenaan berperanan sebagai ejen penghantar atau orang tengah bagi pembayaran habuan kepada pegawai JKDM.
Beliau berkata ia susulan penahanan 34 pegawai kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menerusi Op Samba 2.0 dan 11 pegawai di Pelabuhan Klang yang ditahan menerusi operasi khas baru-baru ini.
Hasil siasatan setakat ini, SPRM berjaya merampas wang tunai sejumlah RM4.4 juta dipercayai diperoleh secara rasuah oleh pegawai kastam terbabit.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg