KLANG (Selangor): Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, berkata bahawa masalah ajaran sesat ketika ini amat membimbangkan.
Sultan Sharafuddin berkata ia bukan hanya mencemarkan kesucian Islam malah boleh memecahbelahkan perpaduan umat Islam.
“Penyimpangan akidah adalah satu ancaman serius yang tidak boleh dipandang remeh kerana masalah itu ‘ibarat api dalam sekam’ yang boleh marak tanpa disedari.
“Dalam dunia akhir zaman ini, fitnah dan kekeliruan dalam kalangan umat Islam bermahajaralela menyebabkan umat Islam mudah sesat dan terjerumus ke dalam ajaran menyeleweng,” ujar Sultan Selangor, pada 5 Disember ketika merasmikan Masjid Jamek Cina Muslim Klang.
Dalam titah ucapan perasmian, Sultan Sharafuddin turut berkenan mengingatkan ahli-ahli jawatankuasa masjid supaya sentiasa mengambil langkah proaktif bagi membendung amalan ajaran sesat supaya tidak bertapak di masjid berkenaan.
Sultan Selangor turut menzahir rasa bangga dan sukacita kerana negeri Selangor akhirnya mempunyai sebuah Masjid Jamek Cina Muslim pertama yang dibina dengan seni reka menarik berilhamkan reka bentuk salah sebuah masjid di daerah Xi’an, China.
“Adalah menjadi hasrat dan harapan bahawa dengan terbinanya rumah-rumah ibadat pelbagai agama di Bandaraya Diraja Klang ini, akan dapat membentuk persefahaman serta perasaan hormat-menghormati di antara penganut pelbagai agama di Bandaraya Diraja Klang khususnya dan di negeri Selangor amnya.
Menurutnya walaupun masjid itu dinamakan sebagai Masjid Jamek Cina Muslim tidak bermakna masjid itu hanya dikhaskan untuk penganut Islam berbangsa Cina sahaja.
“Masjid ini seharusnya terbuka kepada semua penganut agama Islam tidak kira apa bangsa sekalipun bagi menjamin perpaduan umat Islam sentiasa terpelihara.
“la juga dapat mengelak dari berlakunya salah faham antara pelbagai kaum yang menganut agama Islam. Saranan Beta ini juga terpakai bagi Masjid-masjid India Muslim di negeri Selangor ini,” ujarnya.
Sultan Selangor turut menyeru supaya umat Islam di Selangor sentiasa memberi tumpuan dan fokus terhadap khutbah Jumaat yang disampaikan kerana ia berperanan mewakili suara khalifah (pemimpin) bagi menyampaikan ingatan dan nasihat kepada umat islam.
“Khutbah berperanan sebagai wadah ilmu dan membuat seruan kepada umat Islam untuk bertakwa kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan berpegang kepada akidah ahli sunah waljamaah, aliran Asha’irah dan Maturidiah.
“Khutbah adalah sebagai medium bagi mengajak umat Islam untuk sentiasa hidup harmoni, saling hormat-menghormati dan mementingkan perpaduan,” ujar Sultan Sharafuddin. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg