Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Majlis Agama Islam M’sia putuskan Global Ikhwan kumpulan sesat

Ajaran, fahaman dan pegangan didapati sesat dan menyeleweng daripada Islam
Nov 15, 2024 | 1:06 PM
Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia, Datuk Nooh Gadut.
Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia, Datuk Nooh Gadut. - Foto JABATAN MUFTI JOHOR

Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) memutuskan ajaran, fahaman dan pegangan ahli Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran agama Islam.

Keputusan itu dibuat MKI selepas yakin dan berpuas hati dengan hujah dan fakta yang dikemukakan penyelidik mengenai kegiatan kumpulan serpihan Al-Arqam itu, menerusi mesyuarat jawatankuasa itu yang bersidang pada 24 hingga 26 September.

Pengerusi MKI, Datuk Nooh Gadut, berkata ajaran yang dibawa Ketua Pegawai Eksekutif GISBH, Nasiruddin Mohd Ali, dan pengikutnya atau mana-mana orang daripada syarikat, firma, pertubuhan, persatuan atau kumpulan yang mempunyai kaitan dengannya atau mana-mana individu lain yang mempunyai ciri-ciri penyelewengan, adalah sesat dan menyimpang daripada ajaran Islam.

Antara fahaman menyeleweng yang dianuti kumpulan itu jelas beliau, termasuk mentakrifkan Asy Syeikh Muhammad Abdullah As-Suhaimi atau Syeikh Muhammad Suhaimi sebagai Imam Mahdi.

Pengasas Al-Arqam, Allahyarham Asaari Muhammad, pula dianggap pembantu Imam Mahdi di akhir zaman dan dikatakan boleh memberi syafaat kepada pengikutnya.

Di samping itu, beliau menambah, antara ciri penyelewengan lain ialah air basuhan anggota badan pemimpin dan air rendaman seperti rambut dan janggut pemimpin dianggap mempunyai berkat.

“GISBH turut mengamalkan ekonomi ma’ash yang mempunyai unsur perhambaan yang mana keperluan pengikut akan ditanggung sepenuhnya oleh syarikat dan sebagai balasan, mereka dikehendaki berkhidmat secara sukarela tanpa sebarang upah,” katanya dalam satu kenyataan.

Datuk Nooh berkata GISBH turut mengamalkan Aurad Muhammadiah atau zikir agung yang telah difatwakan sesat.

Sehubungan itu, katanya mana-mana orang hendaklah menjauhi ajaran, pegangan dan fahaman berkenaan dan dilarang mempercayai, mengajar, menyebarkan, mengamalkan atau menjadi pengikutnya.

“Mereka yang berpegang pada, mempercayai, mengajar, menyebarkan, mengamalkan atau menjadi pengikut ajaran berkenaan hendaklah bertaubat dengan taubat nasuha,” katanya.

Menjelaskan lanjut Datuk Nooh berkata orang ramai juga tidak boleh memiliki, menyimpan, menjual, memuat naik, memuat turun, menyebar, mengedar, menggantung atau menerbitkan sebarang poster, buku, majalah, risalah atau bahan bacaan lain sama ada dicetak, ditaip atau ditulis dalam semua bentuk keluaran termasuk filem, alat pandang dengar, rakaman, laman sesawang dan media cetak atau elektronik, yang mengandungi ciri-ciri fahaman, ajaran dan pegangan yang dinyatakan.

“Jawatankuasa ini juga mencadangkan agensi kerajaan berkaitan di peringkat Persekutuan dan negeri membantu melaksanakan proses istitabah (bertaubat) dan memberi peruntukan atau pembiayaan bersesuaian dengan tujuan berkenaan,” ujarnya.

Dalam pada itu beliau berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sudah memberi maklum pandangan hukum itu kepada Pengerusi MKI, Sultan Nazrin Shah, seterusnya ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 23 dan 24 Oktober lalu.

“Majlis mengambil maklum mengenai pandangan hukum yang sudah dipersetujui dan pihak berkuasa negeri boleh mempertimbang keputusan ini bagi tujuan pewartaan fatwa negeri masing-masing,” katanya.

Setakat ini, enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Sabah, Perlis, Pahang, Melaka – telah mengisytiharkan ajaran GISBH sebagai sesat selepas polis menerusi Op Global menyerbu 20 rumah kebajikan yang dikaitkan dengan syarikat berkenaan pada September.

Dalam serbuan itu, pihak berkuasa berjaya menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja yang sebahagian daripada mereka didakwa mengalami penderaan seksual serta diajar dengan doktrin Al-Arqam yang sebelum ini difatwakan sesat.

Serbuan itu turut menemukan barangan terlarang seperti buku dan risalah Aurad Muhammadiah yang difatwakan sesat, sebelum beberapa pemimpin tertinggi GISBH dan pengikutnya ditahan, termasuk di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma).

Pada Oktober, Nasiruddin dan Adib At-Tamimi Ashaari, iaitu anak kepada pengasas Al-Arqam yang telah meninggal dunia, adalah antara 21 orang yang didakwa sebagai ahli kumpulan jenayah terancang sejak 2020.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg