Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sultan Selangor: Hukuman ke atas Selangor FC ‘amat berlebihan’

Anggap MFL, FAM tidak prihatin mengenai ‘kezaliman yang berlaku’ ke atas pemain
Jun 30, 2024 | 5:30 AM
Sultan Selangor, Sultan Sharafudin Idris Shah, melahirkan perasaan marahnya setelah pasukan Selangor FC dihukum Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Sultan Selangor, Sultan Sharafudin Idris Shah, melahirkan perasaan marahnya setelah pasukan Selangor FC dihukum Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). - Foto BERNAMA

Sultan Selangor, Sultan Sharafudin Idris Shah, melahirkan perasaan marahnya setelah Pasukan Bola Sepak (Selangor FC) dihukum oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Dalam satu kenyataan pada 26 Jun, beliau turut menyebut secara khusus nama presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, yang dikatakan “langsung tidak serius bersuara” sedangkan beliau merupakan bekas setiausaha agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

“Saya amat marah dengan keputusan terbaru MFL ini, yang saya anggap tidak bertanggungjawab, dibuat tanpa ihsan, tidak berperikemanusiaan, dan tidak mempamerkan keprihatinan terhadap kezaliman yang berlaku,” kata Sultan Sharafudin.

Beliau juga berpandangan hukuman yang dijatuhkan oleh MFL ke atas Selangor FC tidak masuk akal dan amat berlebihan memandangkan kemenangan telah pun diberikan kepada pasukan lawan, lapor Malaysiakini.

“Saya kini hanya berperanan sebagai penaung di dalam FAS. Namun jika saya merupakan peneraju kepimpinan FAS dan Selangor FC, saya tidak teragak-agak untuk menarik keluar pasukan Selangor daripada Liga Super untuk tempoh masa tertentu,” ujarnya.

Pada 25 Jun, MFL mengumumkan ia mendenda Selangor FC RM100,000 ($28,749) dan tiga mata dipotong daripada jumlah mata yang diperolehi pasukan itu dalam saingan Liga Super musim ini.

Keputusan itu dibuat selepas ahli Lembaga Pengarah MFL mengadakan mesyuarat bagi membincangkan ketidakhadiran Selangor FC pada perlawanan Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim di Johor pada 10 Mei.

Skuad Gergasi Merah itu juga perlu membayar pampasan kerugian yang ditanggung JDT selaku pasukan tuan rumah perlawanan pembukaan dan MFL, dengan jumlahnya akan dimaklumkan kelak.

MFL juga menetapkan perlawanan Liga Super minggu ke-14 di antara Selangor dan JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan berlangsung tanpa penonton.

Selangor FC menarik diri daripada menyertai perlawanan Piala Sumbangsih menentang JDT itu menyusuli insiden jenayah serta ancaman membabitkan pemain sayap mereka, Faisal Abdul Halim.

Sultan Sharafuddin berkata pada 5 Mei bahawa satu kes jenayah serangan asid yang mengancam nyawa menimpa Faisal, yang juga ikon bola sepak Selangor dan Malaysia.

‘MFL, FAM TIDAK SIMPATI’

Kejadian itu diikuti beberapa lagi insiden serangan terhadap pemain bola sepak profesional pada minggu yang sama.

“Disebabkan itu, saya telah pun memberi perkenan kepada Selangor FC untuk menghantar permohonan penangguhan perlawanan Piala Sumbangsih kerana pemain Selangor FC masih dalam keadaan trauma dan ketakutan.

“Bagaimanapun MFL telah menolak permohonan penangguhan tersebut dan memberi kemenangan 3-0 serta kejuaraan Piala Sumbangsih kepada pihak lawan.

“Saya berpandangan bahawa hukuman yang dijatuhkan, iaitu denda sebanyak RM100,000, bayaran pampasan kerugian yang ditanggung tuan rumah dan MFL, pemotongan tiga mata serta hukuman menjalankan perlawanan tanpa penonton, adalah tidak masuk akal dan amat berlebihan memandangkan kemenangan telah pun diberikan kepada pasukan lawan,” kata Sultan Sharafuddin.

Apa yang berlaku sekarang tidak pernah disaksikannya sepanjang terlibat dalam bola sepak tempatan dari 1968 hingga bersara pada 1990, tambah Sultan Sharafuddin.

“Sukan yang sepatutnya menjadi platform perpaduan antara berbilang kaum dan rakyat kini telah dicemari keganasan.

“Lebih teruk lagi, MFL dan FAM langsung tidak serius bersuara dan mengambil langkah-langkah berjaga-jaga yang perlu mengenai aspek keganasan dan kezaliman yang berlaku terhadap pemain.

“Saya juga amat pelik kerana MFL dan FAM tidak menunjukkan rasa simpati dan belas kasihan terhadap pihak-pihak yang teraniaya dalam isu ini.

“Harus diingat, apa yang berlaku ini bukan sahaja akan mencemar kredibiliti sukan bola sepak di negara ini, malah boleh membunuh semangat dan hala tuju pasukan Selangor FC,” ujar beliau lagi.

Sultan Sharafuddin juga berkata bola sepak begitu digemari dan terbukti menyatupadukan rakyat Malaysia sebelum ini.

“Tindakan melampau MFL langsung tidak melambangkan semangat ini dan hanya akan merosakkan imej industri bola sepak tempatan serta sokongan orang ramai terhadap sukan yang kita cintai ini.

“Saya ingatkan kepada MFL, buatlah keputusan dengan berhati-hati,” katanya.

Sementara itu, Stadium Astro melaporkan MFL memberikan Selangor FC tempoh empat hari untuk membuat rayuan terhadap hukuman yang dikenakan terhadap mereka.

Memetik kenyataan Pengarah Eksekutif MFL, Stuart Ramalinggam, saluran sukan itu melaporkan apabila rayuan diterima, mereka akan membuat penelitian sebelum mengeluarkan keputusan dalam tempoh hingga sebulan.

Menyusuli keputusan itu, naib presiden FAM, Shahril Mokhtar, yang juga timbalan presiden FAS, membuat keputusan mengejut melepaskan kesemua jawatannya dalam FAM berkuat kuasa serta-merta pada 26 Jun.

Shahril, yang merupakan pengerusi jawatankuasa penajaan dan pemasaran FAM dan pengurus skuad Bawah 23 tahun negara, mengesahkan peletakan jawatannya kepada media. Beliau, bagaimanapun, tidak menjelaskan punca beliau meletak jawatan.

Dalam pada itu, kerajaan Selangor memutuskan membuka ruang buat orang ramai menunjukkan kebersamaan mereka dengan Selangor FC melalui kutipan dana awam untuk membantu kelab itu membayar denda tersebut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg