GEORGETOWN (Pulau Pinang): Polis menahan seorang lelaki yang melarikan sebuah kereta bersama seorang anak istimewa berusia lima tahun dalam satu kejadian di Masjid Kampung Banggol, Pokok Sena, Tasek Gelugor, Pulau Pinang, pada malam 30 Mac.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad, berkata dalam kejadian sekitar 8 malam, pengadu yang juga bapa kepada kanak-kanak lelaki itu telah meninggalkan kenderaan jenis Honda BR-V dalam keadaan enjin masih hidup di kawasan letak kenderaan masjid berkenaan bagi memujuk anak perempuannya yang berusia setahun.
Beliau berkata seorang individu yang tidak dikenali mengambil kesempatan melarikan kenderaan tersebut bersama kanak-kanak itu.
Bapanya yang berusia 41 tahun cuba mengejar tetapi gagal.
“Sekitar 3.45 pagi ini, pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang berjaya mengesan kenderaan terbabit di sebuah stesen minyak R&R Behrang, Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) menghala ke selatan dengan suspek ditemui sedang tidur dalam kenderaan itu dengan enjin masih hidup.
“Apabila diminta membuka pintu, suspek enggan dan cuba melarikan diri dengan mengundurkan kenderaan sehingga melanggar kenderaan polis yang berada di belakangnya,” katanya dalam satu kenyataan pada 31 Mac, lapor Harian Metro.
Datuk Hamzah berkata susulan itu, polis terpaksa memecahkan tingkap kenderaan dan suspek cuba melawan semasa tangkapan dilakukan.
Bagaimanapun, polis berjaya menahannya serta menyelamatkan kanak-kanak tersebut tanpa sebarang kecederaan.
“Hasil siasatan mendapati suspek, seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun, mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan 10 kes berkaitan dadah, termasuk dua kes dikehendaki serta lima kes jenayah lain,” katanya.
Suspek kini direman selama empat hari sehingga 3 April untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A dan Seksyen 363 Kanun Keseksaan.
Sehubungan itu, Datuk Hamzah menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak meninggalkan anak kecil di dalam kenderaan tanpa pengawasan, khususnya apabila enjin masih hidup.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg