KLANG (Selangor): Empat sekawan termasuk dua wanita dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Majistret pada 5 November selepas mengaku bersalah atas tuduhan menculik seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun pada Oktober lalu.
Majistret Siti Zubaidah Mahat memerintahkan tertuduh Alyaa Zahwa Salim, 18 tahun; Putri Nurul Suhaila Abdullah,18 tahun; Muhammad Asran Ghazalie, 23 tahun; dan Muhammad Adha Abdullah, 20 tahun; menjalani hukuman penjara dari tarikh ditangkap.
Mengikut tuduhan, mereka secara bersama-sama telah menculik seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun daripada penjaga sah.
Perbuatan itu dilakukan di Lorong Batu Nilam 1B, Bandar Bukit Tinggi, Klang, sekitar 3 petang pada 8 Oktober lalu.
Susulan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan denda.
Menurut fakta kes, semua tertuduh telah membawa mangsa menaiki kereta yang disewa ke sebuah rumah di Segambut, Kuala Lumpur.
Mangsa telah ditinggalkan di kediaman itu sebelum pulang menggunakan kenderaan e-hailing pada 12 Oktober selepas empat hari dilaporkan hilang, lapor Berita Harian Malaysia.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Encik Muhamad Saifullah Muhamad Azmi, yang mewakili semua tertuduh dalam rayuannya memohon budi bicara mahkamah untuk mengenakan bon kelakuan baik terhadap tiga pesalah muda.
Beliau berkata Alyaa Zahwa dan Putri Nurul Suhaila masing-masing bekerja sebagai tukang urut dengan gaji RM2,000 ($603) dan Muhammad Adha bekerja di gerai rokok elektronik dengan gaji RM1,800 manakala Muhammad Asran tidak bekerja.
“Punca sebenar bermula daripada insiden perselisihan faham antara tertuduh dengan abang mangsa. Niat mereka untuk berjumpa dengan abang mangsa dan mengaku membawa budak perempuan itu ke rumah tersebut sementara menunggu abang mangsa.
“Mereka sudah insaf dan saya percaya mereka masih belum cukup matang,” jelasnya.
Namun, Timbalan Pendakwa Raya Nuruljannah Aimi membantah bon berkenaan kerana kes berkenaan mendapat perhatian umum serta tular.
“Jenayah culik adalah jenayah berat dan mangsa berusia 12 tahun. Tindakan melarikan mangsa selama empat hari menyebabkan kecederaan kepada mangsa berdasarkan laporan perubatan.
“Harap mempertimbangkan juga perasaan ibu mangsa selepas anaknya hilang empat hari. Ketidakmatangan tidak boleh dijadikan alasan bagi mereka yang berusia 18 hingga 20 tahun,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg