PETALING JAYA: Sebuah rangkaian kopi popular di Malaysia telah memohon maaf selepas mengumumkan kenaikan caj perkhidmatan daripada 10 peratus kepada 15 peratus semasa musim perayaan Tahun Baru Cina yang akan datang.
Oriental Kopi, yang telah membuat pengumuman awal pada 20 Januari mengenai kenaikan itu, kini telah membatalkan langkah tersebut.
“Kami benar-benar memohon maaf atas kesulitan yang berlaku sejak beberapa hari lalu. Semasa Tahun Baru Cina ini, caj perkhidmatan kami akan kekal tidak berubah dan tiada pelarasan akan dibuat.
“Kami komited untuk menyediakan anda dan keluarga, serta rakan anda dengan pengalaman menjamu selera terbaik semasa musim perayaan,” kata syarikat itu di Facebook pada 22 Januari, lapor The Star.
Pengumuman awal kenaikan itu mendapat kritikan meluas, malah turut mendorong Ahli Parlimen (AP) Tebrau, Encik Jimmy Puah, mempersoalkan sama ada kenaikan caj perkhidmatan itu munasabah dan dibenarkan undang-undang.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pula menasihatkan orang ramai untuk membuat aduan jika terdapat restoran yang menaikkan harga semasa musim perayaan.
Sementara itu, syarikat Oriental Kopi Holdings Bhd mula didagangkan di Bursa Malaysia pada 23 Januari.
Syarikat itu menyasarkan untuk memperluaskan kehadirannya dengan membuka 14 kafe baru di Malaysia menjelang 2026 dengan ibu pejabat berpusat, dapur dan gudang bersepadu, lapor Berita Harian Malaysia.
Pada ketika ini, ia mengendalikan 19 kafe di Malaysia dan satu di Singapura, sementara segmen makanan berbungkus dengan potensi berskala tinggi, menawarkan produk dengan pensijilan halal termasuk kopi, teh, pastri, pes masakan, mi segera dan barangan bermusim seperti kuih bulan.
Produk itu dijual melalui pelbagai saluran seperti kafe syarikat, kedai runcit khusus, platform e-dagang seperti Shopee dan Lazada, dan penjual semula, termasuk pasar raya dan pasar mini.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg