Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Baucar CDC terbaru dilancar, separuh boleh diguna di pasar raya

1.33j isi rumah dapat manfaat baucar $300 setiap satu, boleh guna di 23,000 kedai, 400 pasar raya sepanjang 2025
Jan 3, 2025 | 2:56 PM
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong (tiga dari kiri), melancarkan Baucar CDC terbaru pada 3 Januari di Marine Parade. Beliau disertai  Menteri Tenaga Manusia, Encik Tan See Leng (dua dari kanan), dan  Menteri Negara Kanan (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Perdagangan dan Perusahaan), Cik Low Yen Ling, yang juga Mayor CDC South West (kiri).
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong (tiga dari kiri), melancarkan Baucar CDC terbaru pada 3 Januari di Marine Parade. Beliau disertai Menteri Tenaga Manusia, Encik Tan See Leng (dua dari kanan), dan Menteri Negara Kanan (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Perdagangan dan Perusahaan), Cik Low Yen Ling, yang juga Mayor CDC South West (kiri). - Foto ST
Baucar CDC yang boleh digunakan di pasaraya, gerai penjaja serta peniaga di kawasan kejiranan, sah digunakan sehingga 31 Disember 2025.
Baucar CDC yang boleh digunakan di pasaraya, gerai penjaja serta peniaga di kawasan kejiranan, sah digunakan sehingga 31 Disember 2025. - Foto oleh CDC

Sebanyak 1.33j isi rumah warga Singapura kini boleh mendapatkan Baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) bernilai $300 setiap satu untuk membantu meringankan perbelanjaan harian mereka.

Separuh daripada nilai baucar itu boleh digunakan di pasar raya dan separuh lagi di gerai penjaja serta peniaga di kawasan kejiranan yang mengambil bahagian. Ia boleh digunakan hingga 31 Disember.

Isi rumah yang mendapat manfaat daripada baucar CDC peringkat keenam itu boleh menggunakannya di 23,000 kedai peniaga dan gerai penjaja serta lapan rangkaian pasar raya, dengan kira-kira 400 cawangan.

Baucar tersebut adalah sebahagian daripada peluasan Pakej Jaminan yang diumumkan semasa Belanjawan 2024 pada Februari lalu bagi membantu meredakan impak kenaikan kos sara hidup.

Separuh daripada baucar itu, juga bernilai $300 setiap satu, diagih pada Jun 2024.

Baucar terbaru itu dilancarkan pada 3 Januari di Marine Parade.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, bersama Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Marine Parade, menghadiri pelancaran tersebut.

Pelancaran itu dihoskan oleh Mayor CDC South West, Cik Low Yen Ling; Mayor CDC Central, Cik Denise Phua; Mayor CDC North East, Encik Desmond Choo; Mayor CDC North West, Encik Alex Yam; dan Mayor CDC South East, Encik Mohd Fahmi Aliman.

Dalam ucapannya, Encik Gan berkata pengagihan baucar itu adalah antara usaha utama pemerintah untuk membantu isi rumah mengurus cabaran kos sara hidup.

Baucar CDC diperkenal semasa pandemik Covid-19 untuk menunjukkan penghargaan kepada rakyat Singapura bagi perpaduan mereka semasa masa sukar itu, dan untuk menyokong perniagaan. Ia diteruskan selepas itu bagi membantu rakyat Singapura mengurangkan kesan kenaikan harga.

“Kami memperkenalkan Skim Baucar CDC semasa pandemik COVID-19 untuk menghargai perpaduan rakyat Singapura pada masa sukar, serta menyokong perniagaan tempatan.

“Walaupun kenaikan harga akibat inflasi tidak meningkat sepantas dahulu, kami memahami kebimbangan rakyat Singapura berkaitan kos sara hidup.

“Kami mengambil pelbagai langkah untuk menangani isu ini, dan bersedia melakukan lebih banyak lagi bagi menyokong rakyat Singapura,” kata Encik Gan.

Inflasi teras pada 2024 dijangka purata kira-kira 2.5 peratus hingga 3 peratus, turun daripada lebih 4 peratus pada 2023. 

Inflasi teras dijangka berkurangan lagi kepada 1.5 peratus hingga 2.5 peratus dalam 2025, selagi tiada keadaan yang tidak diingini.

“Kadar inflasi telah reda dalam beberapa bulan kebelakangan ini dan, kecuali sebarang keadaan yang tidak dijangka, ia akan terus menurun,” kata Encik Gan.

Beliau berbesar hati kerana hampir semua isi rumah Singapura telah menuntut dan membelanjakan Baucar CDC 2024 mereka.

Hingga 31 Disember 2024, kira-kira 97 peratus isi rumah Singapura telah menuntut baucar tersebut. 

Secara keseluruhan, sekitar $1.6 bilion dibelanjakan sejak pelancaran Skim Baucar CDC Digital pada Disember 2021.

Sebanyak $907 juta dibelanjakan bagi perniagaan penjaja dan pekedai kejiranan, manakala $689 juta dibelanjakan di pasar raya yang menyertai skim itu.

Encik Gan menambah bahawa sedang Singapura menyambut ulang tahun ke-60, atau SG60, pada 2025, pemerintah, masyarakat dan perniagaan boleh terus mencari jalan untuk bekerjasama bagi terus memajukan negara ini.

Sehingga kini, kira-kira 600 gerai kedai kopi menyediakan pilihan hidangan bajet dan menerima baucar CDC sebagai bayaran.

Beberapa pasar raya, peniaga dan penjaja yang mengambil bahagian bakal menawarkan promosi untuk penggunaan baucar.

Sebagai contoh, beberapa peniaga dan penjaja di kawasan perumahan akan memberikan diskaun atau hadiah tambahan untuk pelanggan yang menggunakan baucar CDC di kedai mereka.

Pasar raya seperti Cold Storage, Giant, NTUC FairPrice dan Prime Supermarket juga akan menjalankan promosi untuk pelanggan yang menggunakan baucar CDC.

Isi rumah Singapura akan menerima surat pemberitahuan melalui pos dengan arahan mengenai cara untuk memohon dan membelanjakan baucar CDC 2025 yang bernilai $300 itu.

Prosesnya tetap sama seperti pengagihan sebelumnya — hanya seorang anggota isi rumah perlu melawat go.gov.sg/cdcv dan log masuk menggunakan Singpass untuk memohon baucar digital bagi pihak isi rumah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg